Jaringan daripada Pablo Sarabia dan Wissam Ben Yedder berjaya menghadiahkan kemenangan 2-0 buat Sevilla keatas penyandang juara, Barcelona dalam aksi suku akhir pertama Copa Del Rey, awal pagi tadi.
Ernesto Valverde membariskan skuad keduanya pada perlawanan yang berlangsung di Estadio R. Sanchez Pizjuan ini dan turut membawa masuk Kevin-Prince Boateng di jentera serangan.
Ternyata langkah yang diambil tersebut memakan diri apabila Barcelona kelihatan kurang bermaya bagi mencipta jaringan walaupun lebih mengawal permainan.
Jaringan yang dinantikan penyokong tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-58 menerusi Sarabia.
Berpunca daripada hantaran lintang dilakukan Quincy Promes dari sebelah kanan pintu gol Barcelona, Sarabia yang tidak dikawal menyempurnakan peluang untuk gol pembukaan perlawanan.
Terdesak untuk menyamakan kedudukan, Valverde memasukkan Luis Suarez bagi menajamkan barisan serangan, namun ia masih menemui jalan buntu.
Sebaliknya, Sevilla menambah jaringan kedua pada minit ke-76.
Jaringan kedua ini juga turut memperlihatkan kealpaan pemain pertahanan Barcelona yang gagal mengawasi pemain tuan rumah dengan baik.
Ben Yedder mengeksploitasi kelemahan tersebut apabila dengan mudah beliau menolak masuk bola hasil hantaran dilakukan Ever Banega untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat Sevilla.
Keputusan ini sedikit sebanyak pasti akan mencemaskan Barcelona dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang sudah dimenangi sebanyak 30 kali dalam sejarah kelab tersebut.