Mungkin ramai yang tidak sedar yang saingan Copa America kini sedang rancak berjalan di Brazil ketika ini.
Ketika seluruh rakyat Malaysia dibuai akan kehangatan kejuaraan Euro 2020, saingan Copa America 2021 juga menarik perhatian dengan kesemua aksi peringat kumpulan telah selesai.
Hanya disertai 10 pasukan, kesemuanya dibahagikan kepada dua kumpulan yang mempunyai lima negara di dalamnya.
Empat pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke pusingan suku akhir yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Julai ini.
Tapi siapa yang layak ke pusingan seterusnya?
Kumpulan A menyaksikan kesemua pasukan utama iaitu Argetina, Uruguay, Paraguay dan Chile berjaya lepas ke suku akhir.
Argentina layak selepas menjuarai kumpulan hasil mengutip tiga kemenangan dan satu seri dengan mereka baru saja menumpas Bolivia 4-1 sebentar tadi.
Kemenangan tersebut terhasil daripada dua jaringan Lionel Messi serta satu gol daripada Lautaro Martinez dan Alejandro Gomez.
Dua gol Messi tersebut termasuklah dengan jaringan mantap ini!
More casual GOATiming from Lionel Messi for Argentina's third goal v Bolivia #CopaAmerica pic.twitter.com/ucCJ5Jqpwj
— James Nalton (@JDNalton) June 29, 2021
Sementara gol sepakan penalti Edinson Cavani cukup memberikan tiga mata buat Uruguay yang menewaskan Paraguay dengan 1-0.
Namun begitu, Paraguay tetap layak ke pusingan seterusnya sebagai pasukan tempat ketiga sementara Chile menduduki tangga keempat kumpulan.
Bolivia merupakan pasukan dari kumpulan tersebut yang tersingkir.
Sementara di kumpulan B pula, tuan rumah Brazil, Peru, Ecuador dan Colombia layak ke suku akhir.
Sama seperti Argentina, Brazil turut mengungguli kumpulan mereka dengan rekod yang sama iaitu tiga kemenangan dan satu seri.
Tuan rumah menamatkan saingan kumpulan dengan mencatatkan keputusan seri menentang Ecuador. Gol dari Eder Militao dan Angel Mena menghadiahkan satu mata buat kedua-dua pasukan.
Sementara jaringan Andre Carillo cukup untuk membolehkan Peru menyingkirkan Venezuela dan menjadikan negara itu satu-satunya pasukan yang disingkirkan dari kumpulan B.
Siapa bertemu siapa di suku akhir?
Saingan suku akhir Copa America menyaksikan dua pertembungan yang menarik perhatian dengan potensi kejutan bakal berlaku.
Tuan rumah Brazil bakal bertemu Chile pada jam 8 pagi waktu Malaysia (3 Julai) selepas aksi awal diantara Peru menentang Paraguay yang diadakan pada 5 pagi.
Satu lagi aksi menarik adalah melibatkan Uruguay menentang Colombia yang dijadualkan pada jam 6 pagi waktu Malaysia (4 Julai) sementara Argentina akan melawan Ecuador jam 9 pagi.
Ujian berat pastinya menanti tuan rumah yang bakal bertemu Chile. Untuk rekod, Chile memenangi dua daripada tiga saingan terakhir Copa America iaitu pada 2015 dan 2016.
Jadi siapa akan layak ke pusingan separuh akhir? Jawapannya adalah pada hujung minggu ini!
Tahukah anda? Kami ada artikel-artikel lain mengenai Copa America:
Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode
Apakah Punca Colombia Dibatalkan Hak Jadi Tuan Rumah Copa America 2021?
Pakatan Kapten & Pemain Bintang Yang Bersekongkol Boikot Copa America 2021