Antonio Conte secara rasmi menolak spekulasi untuk mengambil alih Itali sebagai jurulatih kebangsaan dengan menegaskan, beliau kekal komited dengan Chelsea.
Penggantinya sebelum ini, Giampiero Ventura dipecat Rabu lalu selepas Itali gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak 1958 susulan kekalahan 0-1 kepada Sweden dalam perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia.
“Buat masa ini saya sangat fokus untuk melakukan yang terbaik bersama Chelsea dan saya sangat komited kepada kelab ini.
“Saya mahu membina satu asas bagus dengan pasukan ini. Kami berjaya memenangi Liga Perdana England musim lalu tetapi semua orang mengetahui kami masih perlu berusaha keras.
“Perasaan saya sama seperti orang-orang Itali yang lain. Pertama, saya sangat sedih kerana ia seperti satu tamparan hebat kepada bola sepak Itali,” katanya ketika menjawab sama ada beliau mahu kembali menyertai Itali.
“Kamu terlepas bermain pada Piala Dunia sejak 60 tahun dan kamu harus menyedari betapa pentingnya bola sepak di Itali. Bola sepak adalah minat paling utama buat setiap orang namun saya fikir kamu harus mencari jalan bersama-sama menyelesaikan masalah ini.
“Setiap orang di Itali harus bertanggungjawab dengan kegagalan ini, bukannya menyalahkan dua atau tiga orang sahaja,” tegas Conte
Difahamkan, Carlo Ancelotti menjadi calon utama untuk mengambil alih skuad The Azzurri meskipun Conte turut berada dalam radar Itali tetapi pengurus The Blues itu menafikan berminat dengan jawatan tersebut.