Antonio Conte dilaporkan semakin tidak sabar untuk meninggalkan Chelsea setelah dilaporkan semakin tidak berpuas hati dengan polisi kelab di pasaran pemain.
Demikianlah menurut rakan kepada Conte yang juga bekas pengurus Chelsea, Gianluca Vialli.
Conte dijangka akan meninggalkan Chelsea setelah tamat musim ini selepas dilaporkan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan tertinggi kelab berkenaan sejak musim panas yang lalu.
Persatuan Bola Sepak Itali dan juga Paris Saint-Germain (PSG) adalah antara destinasi yang dikatakan akan menjadi pilihan, sekiranya Conte meninggalkan London pada Jun hadapan.
Dan rakan kepada pngurus berusia 48 tahun itu, Vialli berkata Conte pasti akan memperolehi satu lagi tugasan penting sebagai pengurus jika meninggalkan Stamford Bridge.
Vialli dipetik sebagai berkata demikian kepada Sky Sport Italia dalam tugasan sebagai penganalisa perlawanan setelah menyaksikan Chelsea tewas 1-3 kepada Tottenham Hotspur di tempat sendiri.
“Conte sudah tidak sabar untuk meninggalkan Chelsea. Conte tidak gemar apabila pihak kelab membeli dan menjual pemain tanpa memperolehi pendapat daripada beliau.”
“Sebenarnya Chelsea memerlukan seorang pengurus yang lebih berpaksikan kepada kelab,” ujar Vialli.
Conte enggan mengkritik majikannya dalam sidang media selepas perlawanan, namun pengurus itu tidak pernah merahsiakan kekecewaan terhadap polisi kelab tersebut mengenai pembelian pemain. Ini termasuklah kengganan Chelsea untuk memenuhi tuntutan untuk mendapatkan beberapa pemain pilihannya.
Sebagai contoh, Manchester United berjaya mendapatkan Romelu Lukaku daripada Everton setelah ketika pemain tersebut sedang berada di peringkat rundingan dengan Chelsea.
Begitu juga dengan Leonardo Bonucci dan Fernando Llorente yang dianggap tertalu tua, manakala Alexis Sanchez dan Virgil van Dijk pula dilabel tertalu mahal oleh pihak kelab.
Di dalam tempoh itu, pihak kelab menekan strategi pembelian dengan menekankan pemain yang lebih murah dan muda serta berpotensi untuk dijual kembali untuk keuntungan pada masa hadapan.
Conte turut melalui perkara yang sama ketika bersama Juventus dan pernah mendakwa tidak mempunyai dana yang sewajarnya untuk membawa cabaran kelab tersebut di UEFA Champions League.
“Sama ada ianya bersama skuad kebangsaan Itali atau ke PSG, Conte tidak akan mempunyai masalah untuk memperolehi cabaran baru bersama kelab lain,” tambah Vialli.