Clean sheet dalam bola sepak adalah istilah yang sangat biasa kita dengar. Kami yakin ramai pembaca kami tahu akan makna clean sheet.
Kepada pembaca yang masih tidak tahu makna clean sheet ataupun baru berjinak-jinak meminati bola sepak, ini adalah definsi ringkasnya.
Clean sheet merujuk kepada kejayaan penjaga gol untuk mengelakkan pintu golnya daripada dibolosi sepanjang perlawanan.
Kenapa ia disebut clean sheet?
Dalam bola sepak, apa sahaja istilah pasti ada sebabnya dan etimologinya. Etimologi clean sheet adalah dari istilah sheet yang merujuk kepada lampiran kertas. Manakala clean merujuk kepada bersih ataupun kosong.
Ceritanya adalah, dalam perlawanan bola sepak zaman sebelum 1930-an dahulu, kedua-dua pasukan akan menghantar satu kertas yang mengandungi senarai nama kesebelasan utama pasukan mereka kepada pengadil.
Ini bermakna pengadil akan memegang dua kertas sepanjang perlawanan.
Dalam kertas tersebut, ada satu kolum untuk menandakan gol yang dilakukan oleh pemain.
Jadi jika sesebuah pasukan gagal melakukan gol, kolum untuk menandakan gol tidak akan bertanda. Dalam erti kata lain, lampiran kertas tersebut akan kekal bersih – cuma hanya ada nama pemain sahaja.
Lalu pegawai perlawanan akan melaporkan, lampiran kertas (sheet) gol adalah bersih (clean). Itulah sebabnya kenapa apabila sesebuah pasukan yang gagal menjaringkan gol, penjaga gol pasukan lawan akan dikatakan mempunyai ‘clean sheet’.
Hal yang sama masih berlaku sehingga ke hari ini. Cuma catatan gol pada kertas kesebelasan utama itu tidak lagi dipakai pada hari ini kerana adanya teknologi/sistem lain yang mencatat keputusan semasa perlawanan.
Bagaimanapun jumlah clean sheet dalam bola sepak pada dahulu lebih rendah berbanding pada hari ini. Ini kerana pada zaman dahulu, semua pasukan bola sepak gemar bermain menyerang (sehingga ada pasukan yang membariskan formasi 1-2-9 dan 1-1-8) dan jumlah gol pula adalah banyak.
Kesimpulannya, clean sheet adalah satu kredit yang terus kepada penjaga gol yang beraksi dalam perlawanan tersebut.
Pada akhir musim, pemilihan pemenang Anugerah Penjaga Gol Terbaik/Sarung Tangan Emas biasanya merujuk kepada jumlah clean sheet terlebih dahulu.
Jika jumlah clean sheet terikat, barulah kriteria lain akan dinilai – antaranya minit bermain dan jumlah perlawanan yang diturunkan.
5 fakta menarik tentang rekod clean sheet
1. Peter Shilton (England, 1982–1990) dan Fabian Barthez (Perancis, 1998–2006) merupakan pemegang rekod jumlah clean sheet paling banyak dalam kejohanan Piala Dunia iaitu 10 perlawanan.
2. Penjaga gol Switzerland semasa Piala Dunia 2006, Pascal Zuberbühler merupakan satu-satunya penjaga gol yang tidak pernah bolos dalam kejohanan Piala Dunia. Beliau tidak bolos walau satu gol dalam masa permainan sebenar pada ketika itu. Bagaimanapun Switzerland tersingkir di peringkat 16 pasukan terakhir selepas tewas 0-3 dalam penentuan penalti kepada Ukraine.
3. Iker Casillas (Sepanyol) merupakan pemegang rekod clean sheet paling banyak di peringkat bola sepak antarabangsa iaitu sebanyak 82. Beliau menewaskan rekod tersebut pada tahun 2015 yang dicatat oleh Edwin van der Sar (Belanda) iaitu sebanyak 72.
4. Penjaga gol yang memegang rekod clean sheet paling banyak dalam sejarah Premier League adalah Petr Cech (Chelsea, Arsenal) dengan 199 clean sheets. Sementara itu di La Liga, Andoni Zubizarreta adalah pemegang rekodnya dengan 233 clean sheets.
5. 5 penjaga gol yang mempunyai rekod clean sheets paling banyak dalam UEFA Champions League: Iker Casillas (55), Edwin van der Sar (51), Petr Cech (47), Gianluigi Buffon (47) dan Victor Valdes (45).