Perak melakar kemenangan kedua dalam saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020 selepas berjaya menundukkan PJ City FC 2-0 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Beraksi buat pertama kali di gelanggang sendiri pada musim ini, skuad bimbingan Mehmed Durakovic dilihat lebih menguasai permainan sejak dari wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin.
Keadaan padang yang basah akibat hujan di sebelah petang bagaimanapun sedikit membataskan pergerakan pemain kedua-dua pasukan.
Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad melonjakkan kegembiraan buat penyokong tuan rumah apabila tandukannya hasil sepakan penjuru Muhammad Firdaus Saiyadi terus menerjah gawang PJ City FC yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-24.
Ketika aksi babak pertama semakin menghampiri penghujung, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi hampir mengukuhkan kedudukan buat Perak setelah beliau gagal menyempurnakan peluang ketika hanya berhadapan dengan Ahmad Syihan.
Memasuki separuh masa kedua, Perak terus memperlihatkan penguasaan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya dalam usaha menambah jaringan.
Usaha tersebut membuahkan hasil di minit ke-63 setelah Thierry Chantha Bin dengan tenang menyempurnakan sepakan percuma untuk gol kedua skuad ‘Yob’.
Bagaikan mendapat tonik daripada jaringan tersebut, Perak menambah jaringan ketiga berselang empat minit kemudian menerusi Guilherme De Paula tetapi tandukan susulan rembatan Rafiuddin Roddin yang ditepis Ahmad Syihan terlebih dahulu dikesan ofsaid.
PJ City FC bukan sahaja tidak mampu menghalang kemenangan Perak pada malam ini, malah mereka juga turut gagal mencipta sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol Perak.
Dengan kemenangan ini menyaksikan Perak mengumpul tujuh mata sekaligus melonjakkan kedudukan di tempat kedua, ketinggalan dua mata dibelakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kredit foto: Perak TBG