Pemain sayap lincah Chelsea, Christian Pulisic semakin mempamerkan aksi meyakinkan sebaik sahaja saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 kembali bersambung dengan norma baharu.
Di samping dua jaringan berjaya dihasilkan ketika bertemu Aston Villa dan Manchester City, kelincahan pemain kelahiran Pennsylvania, Amerika Syarikat ini menjadi ancaman besar buat para pemain pertahanan pasukan lawan.
Ia turut dibuktikan apabila gerakan solo dilakukannya sehingga membuatkan beliau menjadi mangsa kekasaran pertahanan West Ham United dan Watford sehingga menghadiahkan sepakan penalti buat Chelsea pada dua perlawanan terakhir EPL.
Sehubungan aksi bertenaga ditampilkannya, sudah kedengaran perbandingan di antara Pulisic dan bekas pemain bintang The Blues yang kini beraksi bersama Real Madrid, Eden Hazard.
Namun, tuan empunya diri tanpa berselindung tidak mahu dirinya dibandingkan dengan pemain sanjungannya yang telah menjaringkan 110 gol sepanjang tujuh musim bersama Chelsea itu.
”Eden merupakan pemain yang luar biasa buat Chelsea dan berkelas dunia. Saya tidak mahu cuba untuk membandingkannya, saya hanya mahu menjadi diri sendiri.”
Two in two for @cpulisic_10! ⚽️⚽️#CHEMCI pic.twitter.com/s1PgnsO0Il
— Chelsea FC (@ChelseaFC) June 25, 2020
”Kami memerlukannya [kemenangan] pada hari ini. Kami turun ke padang dengan penuh tenaga dan memerlukan kemenangan yang besar, terutamanya selepas keciciran mata pada perlawanan terakhir [bertemu West Ham United].”
”Terdapat sedikit tenaga tambahan kerana kekalahan tersebut dan kami mahu untuk membuktikan sesuatu.”
”[Perebutan empat teratas] semakin menghampiri penghujungnya. Kami teruja dan yakin akan mampu untuk melakukannya,” ujar Christian Pulisic menurut laporan Goal.
Pulisic dan Chelsea mencapai kata sepakat pada Januari 2019 yang menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu memeterai kontrak selama lima tahun setengah dengan yuran perpindahan berjumlah hampir £58 juta dan dipinjamkan semula ke Borussia Dortmund bagi menghadapi baki saingan Bundesliga 2018/19.
Beliau secara rasminya menyertai Chelsea pada jendela perpindahan musim panas yang lalu pada ketika Chelsea menjalani hukuman larangan pembelian pemain yang dikenakan.
Dalam perkembangan lain, selepas kemenangan 3-0 bertemu Watford di Stamford Bridge pada awal pagi tadi, Chelsea kembali merampas kedudukan keempat daripada Manchester United dan masih lagi berkelebihan dua mata di hadapan The Red Devils.