Bekas pemain antarabangsa Perancis yang merangkul kejuaraan Piala Dunia 1998, Christian Karembeu menyifatkan Real Madrid sebagai pilihan utama bagi meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah musim ini walaupun kurang menyerlah dalam saingan domestik.
Musim ini, Real Madrid sedikit dirundung malang apabila ketinggalan 15 mata dibelakang pendahulu La Liga yang merupakan musuh tradisi, Barcelona.
Lebih perit, skuad bimbingan Zinedine Zidane itu tersingkir pada peringkat suku akhir Copa del Rey ketika bertemu Leganes.
Namun, kejayaan menundukkan skuad berbelanja besar, Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan 16 terbaik memberikan harapan buat Real Madrid untuk mara lebih jauh dalam saingan berprestij Eropah tersebut.
Christian Karembeu yang turut merupakan bekas pemain Real Madrid bermula tahun 1997 hingga 2000, percaya bahawa Los Blancos adalah satu-satunya pasukan yang mampu untuk menjuarai persaingan walaupun suku akhir turut dibarisi Barcelona, Bayern Munich dan Manchester City.
”Jangan tanya soalan ini,” ujar bekas pemain berusia 47 tahun itu kepada Omnisport.
”Hanya Real (Madrid) boleh memenanginya (Liga Juara-Juara Eropah), itu sahaja.”
”Di Kiev (tempat perlawanan akhir berlangsung), siapa yang akan beraksi bertemu Real, saya tidak tahu. Real akan berada di Kiev. Ya.”
Karembeu yang pernah beraksi disamping Zinedine Zidane dalam skuad kebangsaan jelas positif dengan pengurus tersebut di Real Madrid walaupu sedikit dibelenggu tekanan musim ini.
”Dia merupakan pemain yang menakjubkan dan dia akan menjadi pengurus yang menakjubkan,” tambah beliau lagi. ”Dia sudah melakukannya.”
Ketika beraksi bersama Real Madrid, Karembeu telah mengecapi dua kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah pada musim 1997/1998 dan 1999/2000.
Real Madrid bakal menghadapi cabaran hebat dari Juventus pada peringkat suku akhir dan kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan pertama di Turin pada 3 April.