Chelsea dilaporkan turut membida sebanyak £75 juta kepada Everton untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku.
Bidaan ini dijangka akan mencetuskan satu lagi saga perpindahan di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kini terpulang kepada Lukaku untuk membuat keputusan sama ada untuk menyertai Manchester United atau pun Chelsea.
Bidaan oleh Chelsea disahkan oleh ESPN FC awal pagi tadi.
Sebelum itu, Manchester United kelihatan sudah hampir pasti untuk mendapatkan Lukaku setelah bersetuju untuk membayar £75 juta kepada Everton pada Khamis lalu.
Ujian kesihatan juga akan diadakan di Los Angeles sebelum pengumuman pembelian Lukaku boleh disahkan. Penyerang itu kini sedang berada bersama Paul Pogba, menjalani latihan kecergasan sebagai persiapan sebelum pra musim.
Walaupun begitu, Chelsea masih yakin bahawa Lukaku akan memilih untuk ke Stamford Bridge. Ini mendorong Chelsea untuk menandingi tanda harga yang telah dipersetujui oleh United bersama Everton.
Romelu Lukaku merupakan sasaran utama Antonio Conte dalam jendela perpindahan pada musim panas ini setelah Diego Costa hampir pasti akan kembali menyertai Atletico Madrid.
Di sebalik cubaan Chelsea untuk mendapatkan Lukaku, Manchester United masih yakin Lukaku akan menjadi pemain Red Devils sebelum siri jelajah Amerika Syarikat bermula.
Hubungan baik Manchester United dengan ejen Lukaku, Mino Raiola yang turut membawa masuk Paul Pogba, Henrikh Mkhitaryan dan Zlatan Ibrahimovic ke Old Trafford pada musim lalu diambil kira sebagai salah satu faktor.
Sumber dari Everton mengesahkan perpindahan Romelu Lukaku ke Old Trafford belum lagi disahkan. Ini memberi harapan kepada Chelsea untuk melakukan bidaan sekaligus membawa Lukaku ke Stamford Bridge untuk saingan musim hadapan.
Jika Chelsea gagal untuk mendapatkan Lukaku, maka Conte mungkin akan mengubah perhatiannya kepada penyerang Real Madrid, Alvaro Morata.
Morata dan Conte pernah bekerjasama sewaktu kedua-duanya masih di Juventus.
Sumber:
1. Liam Twomey, ESPN FC (2017): Chelsea match Man United’s £75m bid for Romelu Lukaku – sources;
http://www.espnfc.com/soccer-transfers/story/3154830/chelsea-match-man-uniteds-75m-bid-for-romelu-lukaku-sources
2. Miguel Delaney, Independent (2017): Chelsea bid for Romelu Lukaku to spark Manchester United transfer tug-of-war;
http://www.independent.co.uk/sport/football/transfers/transfer-news-chelsea-romelu-lukaku-spark-manchester-united-transfer-tug-of-war-a7830066.html