Analisis: Jorginho, Kante Antara Penyebab ‘Sarriball’ Tetap Gagal Julang Chelsea Musim Ini

Chelsea memulakan kempen musim ini dengan cemerlang sekali. Pada mulanya kelab London kendalian Maurizio Sarri ini merekodkan lima kemenangan berturut-turut sejak dari hari pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lima perlawanan seterusnya, tiga perlawanan berakhir dengan keputusan seri -namun rekod tanpa kalah masih kekal. Tetapi lima perlawanan terakhir, Chelsea hanya merekodkan dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan. Adakah tanda-tanda keretakan telah muncul di dalam pasukan Chelsea pada musim ini?

Berikut adalah lima perkara yang jelas kelihatan – juga perlu diselesaikan oleh Sarri, jika Chelsea tidak mahu cabaran mereka pada musim ini terus hanyut.

N’Golo Kante tidak digunakan secara optimum

Pemain tengah antarabangsa Perancis ini baru sahaja menandatangani kontrak baharu untuk kekal di Stamford Bridge. Tidak ada siapa yang mempersoalkan jumlah bayaran yang diterima Kante bernilai £290,000 seminggu – kerana semua kita sedar akan kualiti yang dimiliki oleh pemain ini.

Ketika bersama Leicester City dan di peringkat awal karier bersama Chelsea ketika era Antonio Conte, Kante berperanan sebagai pemain tengah pertahanan. Namun senario itu berbeza ketika Chelsea berada di bawah kendalian Maurizio Sarri.

Ketibaan Sarri menyaksikan Kante diberikan peranan di posisi berbeza yang bukan kebiasaan beliau. Di dalam sistem tiga pemain tengah Sarri, Kante beraksi di sebelah kanan dan diberikan tugasan untuk membantu serangan. Dengan kata lain, Kante lebih menyerupai seorang pemain tengah box-to-box.

Jika dibandingkan pada musim sebelumnya, keupayaan sebenar Kante seolah-olah tidak dipergunakan dengan sewajarnya oleh Chelsea pada musim ini. Sebagai perbandingan, Kante hanya melakukan 22 terjahan sahaja sepanjang musim ini untuk Chelsea.

Peranan Jorginho sudah dibaca lawan

Sebaik sahaja Sarri diumumkan sebagai pengurus, Chelsea pantas mengumumkan Jorginho sebagai pemain baharu pada hari berikutnya. Ini tidak menghairankan kerana Jorginho adalah pemain penting di dalam sistem Sarri ketika kedua-duanya bersama Napoli pada musim sebelumnya.

Pada permulaan musim, semuanya bermula dengan baik buat Jorginho, Sarri dan Chelsea. Beraksi di posisi pemain tengah pertahanan, Jorginho menggunakan kebolehan melakukan hantaran luar biasa – sekaligus menjadi fokal kepada setiap gerakan serangan Chelsea.

(Photo by Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images)

Namun ianya tidak lama untuk kelab-kelab lain mencari cara untuk menyukarkan Chelsea – bermula dengan Manchester United yang menggunakan Juan Mata untuk merantai gerakan Jorginho, Tottenham Hotspur turut mengambil langkah sama dengan menggunakan Eric Dier ketika menewaskan Chelsea 3-1 pada 25 November lalu.

Walaupun mempunyai visi dan skil hantaran menarik, aspek pertahanan bukanlah kelebihan pemain kelahiran Itali-Brazil ini jika dibandingkan dengan Kante di posisi yang sama – dan sering membenarkan barisan empat pertahanan terdedah dengan serangan pasukan lawan dari bahagian tengah.

Ketiadaan penyudah

Di atas kertas, Chelsea memiliki dua penyerang antabangsa berkelas dunia iaitu Olivier Giroud dan juga Alvaro Morata. Setakat ini, kedua-dua pemain masih gagal memberikan hasil seperti yang diharapkan di dalam pasukan Chelsea pada musim ini.

Sehingga kini Morata sudah menyumbangkan lima gol, tetapi hakikatnya kebanyakkan jaringan Chelsea pada musim ini datangnya dari bahagian tengah dengan Eden Hazard (8 gol), Pedro (5 gol), Ruben Loftus-Cheek (6 gol).

Sumber: BBC Sports

Giroud turut sudah menyumbangkan empat gol untuk Chelsea pada musim ini. Namun jika percubaan tepat diambil kira, Giroud hanya memiliki 43% ketepatan, manakala Morata dengan 47%. Ia jelas adalah peratusan yang jauh lebih rendah dengan apa yang dicapai oleh Hazard atau pun Loftus-Cheek – masing-masing dengan 75% ketepatan.

Walaupun memiliki barisan pemain tengah yang mampu menjaringkan gol, jelas sekali pemain penyerang perlu menambah baik kualiti penyudah mereka di hadapan gol.

Prestasi Hazard mulai merudum

Salah satu sebab utama Chelsea bermula dengan baik pada musim ini adalah disebabkan prestasi Eden Hazard. Pemain antarabangsa Belgium itu meneruskan momentum cemerlang di Piala Dunia bersama pasukan negaranya bersama The Blues.

Pada satu masa kecemerlangan Hazard mendorong Sarri yakin pemain ini mampu menjaringkan 40 gol pada musim ini. Namun sehingga kini, jaringan terakhir Hazard ialah pada 7 Oktober lalu ketika Chelsea merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Southampton.

Chelsea’s Eden Hazard scores his side’s second goal of the game during the Carabao Cup, Third Round match at Anfield, Liverpool. (Photo by Martin Rickett/PA Images via Getty Images)

Secara keseluruhan pemain ini gagal menemui sentuhan penyudah sejak 10 perlawanan yang lalu untuk Chelsea dan juga Belgium. Beberapa siri kecederaan yang dialami sejak Oktober lalu sehingga awal Disember turut tidak membantu kepada prestasi Hazard.

Kini pemain ini terus menjadi tumpuan pemerhati bola sepak berkenaan kontrak beliau di Stamford Bridge dan juga minat oleh Real Madrid untuk membawa beliau ke Estadio Santiago Bernabeu.

Masih relevankah David Luiz?

Selepas kesilapan defensif oleh David Luiz dalam kekalahan 3-1 Chelsea di tangan Tottenham Hotspur, pemain tersebut dihujani dengan kritikan. Chelsea sehingga itu dibolosi 11 kali dan beberapa daripadanya adalah kerana kesilapan defensif oleh David Luiz.

Ramai penyokong Chelsea mendesak agar Luiz direhatkan daripada pasukan utama. Namun Maurizzio Sarri terus memberikan kepercayaan kepada pemain itu sebagai bek tengah.

(Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Penyokong Chelsea sebenarnya ada alasan tersendiri untuk meminta Sarri mempertimbangkan agar Luiz direhatkan seketika sehingga beliau mendapatkan semula prestasi terbaiknya. Sudah pastinya sebagai penyokong mereka merasai ada sesuatu yang tak kena.

Oddsbible berkongsi statistik yang menyatakan 63% – ataupun 7 daripada 11 bolos Chelsea musim ini adalah berpunca daripada kesilapan defensif David Luiz. Lantas Oddsbible bertanya, mungkin sudah tiba masanya Maurizzio Sarri mencari bek tengah baharu.


Sarri merehatkan Luiz dalam kekalahan 2-1 kepada Wolves. Untuk menambah luka, prestasi Andreas Christensen dan Anthony Rudiger juga tidak berada di tahap sepatutnya sebagaimana yang ditampilkan dalam perlawanan menentang Wolves. Adakah barisan pertahanan turut perlu dirombak oleh Sarri?

Penutup

Jika anda membaca artikel ini dengan teliti sejak dari perenggan pertama lagi, anda akan menyedari satu perkara. Setiap bahagian di dalam pasukan Chelsea masih mempunyai masalah.

Sarriball mungkin adalah idea genius oleh Maurizio Sarri dari segi pelan taktikal. Namun ia masih memerlukan kombinasi dan juga profail pemain yang mampu memastikan taktikal efektif. Mampukah Sarri membawa Chelsea muncul pencabar Liga Perdana Inggeris pada musim ini?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN