‘Chelsea Masih Boleh Dijual’ – 6 Perkara Harus Anda Tahu Selepas Aset Abramovich Dibekukan

Semua aset Roman Abramovich kini dibekukan oleh kerajaan UK atas dakwaan jutawan minyak itu terlibat dalam pencerobohan tentera Rusia di Ukraine.

Tidak terkecuali menerima kesan adalah Chelsea – kelab bola sepak yang dimiliki oleh Abramovich.

Abramovich adalah antara 6 nama yang disenaraikan oleh kerajaan UK di mana aset mereka dibekukan dan larangan masuk ke Britain.

Situasi tersebut menyebabkan masa depan Chelsea menjadi pertanyaan, selepas secara tidak langsung terlibat dalam sengketa geopolitik.

Bolehkah Abramovich meneruskan penjualan Chelsea?

Tidak seperti yang disangka ramai, Chelsea sebenarnya masih boleh dijual kepada pemilik lain asalkan ia tidak memberi keuntungan kepada Abramovich atau kerajaan Rusia.

Malah kelab itu dilaporkan sedang melakukan rundingan dengan pihak kerajaan UK mengenai langkah seterusnya yang boleh diambil oleh pihak kelab.

Mungkin ada yang mempertikaikan fakta ini. Hakikatnya Chelsea masih lagi sebuah kelab bola sepak yang berpengkalan di London – walaupun turut terpalit dengan masalah geopolitik kerana hal pemilikan.

Abramovich sebelum ini berkata segala hasil penjualan akan disalurkan kepada mangsa perang di Ukraine. Tetapi ia tidak semudah itu kerana setiap aliran kewangan akan disiasat dan akan memakan masa.

Sehingga kini sekurang-kurangnya 20 pembida dikatakan berminat untuk membeli Chelsea.

Apa nasib Chelsea di Liga Inggeris dan Eropah?

Chelsea masih boleh beraksi dalam semua pertandingan di bawah peraturan khas yang membenarkan semua 1,400 kakitangan – termasuk pemain – dibayar gaji.

Perlawanan menentang Norwich pada awal pagi nanti turut akan diteruskan seperti biasa, tetapi hanya pemegang pas bermusim sahaja dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan di Stamford Bridge.

Penjualan tiket untuk perlawanan lain tidak dibenarkan. Penyokong Chelsea yang mahu menghadiri ‘away-day’ turut dibenarkan kerana pembelian tiket adalah daripada kelab lawan.

Sebarang penjualan cenderamata dengan jenama Chelsea turut tidak dibenarkan.

Bolehkan Chelsea aktif di jendela perpindahan?

The Blues tidak dibenarkan untuk mendaftarkan pemain baharu di bawah peraturan dan syarat baharu berkaitan krisis di Ukraine.

Ini bermakna Chelsea sekali lagi berhadapan masalah yang sama mereka hadapi tiga tahun lalu selepas melanggar peraturan membabitkan pendaftaran pemain di bawah umur.

Walaupun Chelsea tidak dibenarkan melakukan perpindahan pemain, kelab itu masih boleh melakukan transaksi kewangan daripada dan ke kelab lain untuk tunggakan bayaran perjanjian perpindahan sebelum ini.

Adakah pembaharuan kontrak akan terjejas?

Chelsea tidak dibenarkan untuk memperbaharui kontrak pemain sedia ada. Ini bermakna rundingan kontrak yang sedang aktif untuk Antonio Rudiger, Cezar Azpilicueta dan Andreas Christensen  harus dihentikan serta merta.

Kontrak ketiga-tiga pemain ini akan tamat pada musim panas akan datang. Ini bermakna ketiga-tiga pemain ini bebas menyertai kelab lain selepas kontrak masing-masing tamat, melainkan pergantungan atau pembekuan ditarik balik oleh kerajaan UK.

Bagaimana dengan tajaan?

Penaja utama pada jersi, 3, kini dilaporkan sedang menilai semula kerjasama berjumlah £40 juta dengan Chelsea.

Nasib dan masa depan penaja lain turut menjadi pertanyaan. Chelsea memiliki banyak perjanjian komersil bernilai tinggi termasuk kerjasama bernilai £55juta setahun bersama Nike, dan tajaan bernilai £15 juta dengan Hyundai dan Hublot.

Sampai bilakah pergantungan ini dilaksanakan?

Tidak jelas sehingga bilakah pergantungan dan pembekuan ini akan dilaksanakan kerana ia melibatkan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan sengketa ketenteraan di Ukraine.

Pergantungan terhadap Chelsea untuk aktiviti di atas akan disemak kembali pada Mei, namun pada ketika itu Chelsea turut akan berhadapan dengan risiko pemotongan 9 mata sekiranya pengurusan kelab itu masuk administration (dilabel bankrap).

Tidak dinafikan situasi terkini menyebabkan pihak pengurusan Chelsea berada di dalam keadaan sukar sehingga kelab itu dijual.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN