5 Sebab Kenapa Chelsea Terlalu Hampir Untuk Juara EPL 2016/17

Chelsea hanya memerlukan 3 lagi mata untuk dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2016/2017.

Dalam perlawanan menentang Middlesbrough sebelum ini, jaringan Diego Costa, Marcos Alonso dan Nemanja Matic melengkapkan kemenangan mudah 3-0 pasukan Chelsea di Stamford Bridge.

Kekalahan tersebut turut menyingkirkan Middlesbrough ke Liga Championship pada musim hadapan bersama-sama Sunderland yang telah sah tersingkir.

Dominasi pasukan Chelsea pada musim ini sungguh ketara. Sehingga perlawanan awal pagi tadi, Chelsea selesa mendahului carta liga dengan kelebihan 7 mata di atas Totenham Hotspurs, masing-masing dengan baki 3 saingan.

Apakah perkara yang menjadikan pasukan Chelsea begitu dominan dibandingkan dengan musim suram sebelumnya?

1. Eden Cetuskan ‘Hazard’

Jose Mourinho pernah menyifatkan Eden Hazard adalah pemain yang lebih baik daripada Cristiano Ronaldo.

Kenyataan itu adalah selepas Hazard dipilih sebagai pemenang anugerah Pemain Tahunan PFA Dan Penulis Sukan pada Julai 2015.

Bagaimanapun, persembahan Hazard pada musim berikutnya mengundang kritikan ramai. Mourinho dipecat oleh Chelsea pada November 2015 dan kelab berkenaan mengakhiri liga di tangga ke-10 pada musim 2015-2016.

Ia adalah kedudukan terteruk Chelsea di bawah era Roman Abrahamovic.

Di bawah kendalian Anotoni Conte pada musim ini, Hazard bagaikan seorang pemain baharu. Jelas Conte telah berjaya memberi keyakinan kepada pemain antarabangsa Belgium dalam sistem permainan beliau.

MANCHESTER, ENGLAND – DECEMBER 03: Eden Hazard of Chelsea scores his team’s third goal to make the score 1-3 during the Premier League match between Manchester City and Chelsea at Etihad Stadium on December 3, 2016 in Manchester, England. (Photo by James Baylis – AMA/Getty Images)

“Antonio Conte adalah individu dengan karakter yang hebat dan dia sentiasa membantu pemainnya.” Kata Hazard selepas menewaskan West Ham pada Mac lalu.

16 gol dan 6 bantuan gol pada musim ini adalah bukti kebangkitan Hazard. Dalam sistem yang diperkenalkan oleh Conte, Hazard dibiarkan bergerak bebas dalam posisi menyerang tanpa perlu menghiraukan peranan untuk bertahan.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh OPTA, ada masanya Hazard bergerak lebih ke hadapan berbanding dengan Diego Costa.

Peranan yang diberikan oleh Conte membenarkan Hazard untuk bergerak bebas, melancarkan serangan dari pelbagai arah dan semestinya menarik perhatian pertahanan lawan. Ini memberikan lebih ruang untuk pemain lain seperti Diego Costa untuk menjaringkan gol.

2. Kembalinya David Luiz

Bahagian pertahanan adalah antara bahagian yang paling rapuh pada musim lepas. Apabila John Terry mengumumkan persaraan pada penghujung musim lepas, Conte sedar dia perlu membawa seorang pertahanan tengah yang berkualiti.

Conte membuatkan ramai pihak terkejut apabila membawa kembali bekas pertahanan Chelsea, David Luiz daripada PSG. Tetapi peranan yang dimainkan oleh Luiz di bahagian tengah 3 pertahanan Chelsea adalah signifikan.

Pertahanan tengah Chelsea daripada Brazil, David Luiz.

Posisi ini bukan sahaja posisi yang sesuai dan memberi keyakinan kepada pertahanan Brazil ini. Ketenangan- ketika bola di kaki atau tidak, kebijaksanaan membaca permainan dan kebolehan mengesan bahaya ketika lawan menyerang adalah perkara yang nyata dalam permainan David Luiz sejak Conte memilih menggunakan formasi 3-4-3.

Luiz adalah teras kepada pertahanan Chelsea. Tanpa pimpinan Luiz di bahagian pertahanan, Chelsea tidak akan mampu untuk mengekalkan keseimbangan dan menyerap tekanan ketika bertahan. Chelsea juga pantas melancarkan serangan balas kepada lawan daripada bahagian pertahanan.

3. Tiada Aksi Eropah

Ketiadaan aksi di Eropah bukanlah satu perkara yang teruk untuk Chelsea pada musim ini. Malah ia bagaikan “blessing in disguise” buat anak buah Antonio Conte.

5 pesaing mereka yang lain dalam senarai 6 pasukan teratas (kecuali Liverpool)  beraksi pada pertengahan minggu di pentas Eropah. Masa rehat yang lebih dimiliki oleh Chelsea dimanfaatkan sepenuhnya untuk persiapan di hujung minggu.

Dalam satu temuramah dengan tabloid Independent pada April lalu, Conte menafikan ketiadaan pertandingan eropah adalah kelebihan untuk anak buahnya.

Antonio Conte dan pemainnya santai dalam latihan.

“Ya. Saya ada mendengar sesetengah pihak merungut mengenai itu. Tetapi Liverpool juga mempunyai posisi yang sama dengan kami,” ujar Conte sambil meminta wartawan merumuskan sendiri maksud beliau.

Apapun penafian Conte, semua pihak pasti bertanggapan ketiadaan saingan Eropah memberi lebih masa untuk persiapan dan membenarkan Conte menurunkan skuad yang lebih segar berbanding pesaingnya yang lain.

Untuk rekod, selain daripada pilihan untuk kejuaraan liga pada musim ini, Chelsea turut melayakkan diri ke final Piala FA 2017 yang akan diadakan pada 27 Mei depan.

4. Kesungguhan Conte Motivasikan Chelsea

Conte adalah individu yang popular di kalangan pemain Chelsea. Hakikat bahawa Conte juga adalah bekas pemain, membuatkan Conte turut dihormati ketika melontarkan pendapatnya.

Pemain-pemain seperti Marcos Alonso dan Eden Hazard secara terbuka memuji kesungguhan pengendali yang berasal daripada Italy ini kepada media.

Di tepi padang, Don Conte akan sentiasa menjerit dan sentiasa bertenaga supaya pemainya sentiasa merasa kehadirannya dalam perjuangan  di atas padang.

Conte memastikan pemainnya mengikuti perancangan beliau.

“Ia pasukan yang lengkap dan seimbang, tetapi kredit harus diberikan kepada pengurus. Saya sukakan kesungguhan beliau.”

“Chelsea adalah kelab saya dan menyaksikan seseorang begitu bersungguh melomat ke sana-sini di garisan tepi padang, ia sesuatu yang mengujakan.”

“Selepas perlawanan Conte mempunyai perwatakan yang berbeza. Dia adalah seorang yang sangat berkarismatik ketika berada di padang, namun agak merendahkan diri ketika bersama media.”

Demikianlah sifat yang dimiliki oleh Antonio Conte menurut bekas pemain dan lagenda Chelsea, Frank Lampard.

Kebolehan pengurusan Conte di Chelsea nyata terasa mulai awal musim. Langkah beliau menghadkan penampilan dan pengaruh John Terry adalah sesuatu yang dilakukannya dengan penuh berhati-hati tetapi berjaya.

Walaupun punyai perwatakan yang disenangi oleh pemainnya, Conte bukanlah seorang pengurus yang akan merayu untuk seseorang pemain itu kekal bersama Chelsea. Oscar dan John Obi Mikel adalah antara bintang yang meninggalkan Chelsea di era Conte untuk aksi di Liga Super China.

5. Taktikal Conte

Kebolehan Conte menghadirkan kembali Victor Moses adalah perkara luar biasa. Pemain ini hampir dilupakan oleh penyokong Chelsea sekali.

Kebangkitan Moses pada musim ini menyebabkan Oscar dan Willian sukar mendapatkan tepat. Rahsia Conte mudah. Taktikal yang diperkenalkan beliau menyebabkan pemainnya selesa bermain di posisi masing-masing.

Conte bijak menyesuaikan kebolehan setiap pemain yang beliau miliki ke dalam sishtem bola sepak yang diperkenalkan oleh beliau.

Conte memberi arahan taktikal kepada pemain Chelsea.

Chelsea bermain dengan formasi 3-4-3 yang sangat dinamik. Ia boleh berubah menjadi 3-2-5 atau 3-4-3 ketika melancarkan serangan dan serangan balas pantas.

Hasilnya, pergerakan yang dihasilkan Chelsea adalah lebih ‘fluid’  berbanding ketika era Mourinho

Sistem bek bertiga berpusatkan David Luiz di tengah turut membantu membentuk pertahanan yang ampuh dalam melindungi penjaga gol. Kehadiran Matic dan Kante sebagai pivot berkembar turut memudahkan pertahanan sebelum melancarkan serangan balas pantas.

Kesimpulan

Bukan mudah untuk mengubah DNA bola sepak sesebuah pasukan yang memiliki DNA sebelumnya yang dominan.

Louis Van Gaal dan David Moyes telah gagal di Manchester United. Bayangan bola sepak Sir Alex sering menghantui kedua-dua bekas pengurus berkenaan.

Sir Alex sendiri mengambil masa selama beberapa musim untuk membentuk Manchester United berpaksikan rangkaian DNA Fergie. Andreas Villas Boas turut gagal di Totenham Hotspurs dengan bola sepak high pressing beliau.

Apa yang dicapai oleh Chelsea dan Conte pada musim ini adalah menakjubkan.

Bukan sahaja kerana mereka hampir bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim 2016-2017 dan juga Piala FA 2017 (andai menewaskan Arsenal di final), malah DNA bola sepak yang dibawa oleh Conte dan dipersembahkan oleh barisan pemain Chelsea adalah sesuatu yang menakjubkan.

Baca juga: Pegawai Belia KFA Ditahan Reman Kerana Penyelewengan Forex RM3.5 juta

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN