Dua kelab London meneruskan kemaraan di saingan UEFA Europa League apabila Chelsea dan Arsenal seakan-akan sudah berjanji untuk menghidangkan dua skrip perlawanan yang hampir sama, di dua venue berbeza.
Chelsea vs Malmo
Callum Hudson-Odoi menjaringkan satu gol cantik pada babak kedua perlawanan untuk melengkapkan kemenangan 3-0 Chelsea ke atas Malmo di Stamford Bridge pada awal pagi tadi. Kemenangan tersebut sekaligus mengesahkan The Blues mara ke pusingan 16 pasukan terbaik UEFA Europa League.
Kemenangan 2-1 di pusingan pertama lalu, bermakna Chelsea layak ke pusingan seterusnya dengan agregat 5-1.
Chelsea bermula dengan perlahan, namun berjaya membuka tirai jaringan menerusi Olivier Giroud. Ross Barkley kemudian menggandakan pendahuluan melalui sepakan percuma, selepas Rasmus Bengston dilayangkan kad merah.
Pemain remaja berusia 18 tahun, Hudson-Odoi melengkapkan kemenangan buat Chelsea selepas larian ke dalam kotak penalti diikuti oleh rembatan rendah kaki kanan yang mengelirukan penjaga gol lawan.
Kemenangan tersebut sedikit sebanyak melegakan tekanan yang dirasai oleh Maurizio Sarri selepas beberapa siri kekalahan.
Arsenal vs BATE Borisov
Arsenal bangkit daripada kekalahan 1-0 dari perlawanan pertama untuk menewaskan BATE Borisov di Stadium Emirates, sekaligus turut mengiringi Chelsea ke pusingan 16 pasukan terbaik Europa League.
Sedar ia boleh menjadi perlawanan yang sukar jika tiada gol awal, Arsenal membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 apabila hantaran lintang oleh Pieere-Emerick Aubameyang ditampan masuk oleh pemain pertahanan BATE sendiri, Zakhar Volkov.
Pemain pertahanan tengah, Shkordan Mustafi menjadikan kedudukan 2-0 sebelum tamat babak pertama, melalui tandukan deras hasil sepakan sudut Granit Xhaka.
Pemain gantian, Sokratis Papastathopoulos menjaringkan gol ketiga Arsenal selepas sejam, sekaligus melengkapkan kebangkitan Arsenal selepas persembahan buruk di Belarus.
BATE turut mempunyai peluang mereka tersendiri untuk menghukum Arsenal. Hanya empat minit selepas Arsenal mendahului, Stephan Lichtsteiner terpaksa mengeluarkan bola di garisan gol hasil tandukan Stanislav Dragun.
Penyerang, Maksim Kavysh turut hanya sekadar mengegegarkan sebelah sisi jaring gawang pada babak pertama perlawanan.
VIDEO: GOAL