Perak melengkapkan kuota lima pemain import bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2020 selepas membawa masuk pemain import kelahiran Australia, Antony Golec dan Thierry Chantha Bin dari Kemboja.
Kedua-dua pemain import tersebut memeterai kontrak selama setahun di hadapan pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah di Pejabat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) di Ipoh.
Chantha Bin yang pernah beraksi bersama Terengganu FC selama dua musim merupakan pemain tengah bertahan manakala Antony Golec pula bakal bergandingan bersama Shahrul Mohd Saad di jentera pertahanan tengah.
Pada pertengahan musim lalu, Golec beraksi untuk kelab Liga 1 Indonesia iaitu Perseru Badak Lampung FC.
Tiga lagi slot pemain import Perak terlebih dahulu diisi trio daripada Brazil yang diketuai Leandro Dos Santos Oliveira, Raianderson Da Costa Morais dan Guilherme De Paula.
Ia turut menyaksikan Perak kembali mengisi slot pemain Asia Tenggara (ASEAN) selepas mengambil keputusan untuk tidak mengisi kekosongan tersebut pada musim lalu.
”Musim lepas kami hanya menggunakan empat kuota [pemain import], pada musim ini saya telah berbincang dengan ‘Coach’ Mehmed bahawa musim ini kami ingin memperkuatkan pasukan dalam usaha kita untuk membawa pulang beberapa piala ke negeri Perak.”
”Alhamdulillah pada hari ini kita telah berjaya menandatangani dua pemain yang mana ia menjadi satu bualan hangat dalam kalangan penyokong Perak. Thierry (Chantha) Bin beraksi di posisi tengah dan akan menggantikan Brendan Gan.”
”Sementara itu Anthony Golec, beliau akan berada di posisi pertahanan tengah sekaligus dapat memantapkan lagi posisi tersebut buat pasukan Perak,” ujar Datuk Adly kepada wakil Semuanya BOLA.
”Malam ini kita akan beraksi pada perlawanan persahabatan bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya dan pihak kita turut merancang untuk mengadakan perlawanan pra-musim di Singapura. Ia berkemungkinan pada minggu hadapan, tarikhnya akan diumumkan kemudian.”
Ketika ditanya mengenai kemelut mengenai jersi dan pelancaran pasukan, ini merupakan respon daripada Datuk Adly Shah:
”Saya difahamkan berkenaan dengan jersi, majlis pelancaran dan sebagainya akan diuruskan oleh pihak setiausaha kehormat, jadi adalah wajar sekiranya pihak setiausaha kehormat yang menjelaskan keadaan tersebut.”