Saingan akhir pertama Challenge Cup 2023 bakal bermula pada hari ini dengan pertemuan membabitkan dua finalis iaitu PDRM serta Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Untuk rekod, kedua pasukan tersebut masing-masing tampil dengan kejutan tersendiri pada saingan kali ini untuk menyingkirkan kelab pilihan seperti Kedah Darul Aman (Kedah) dan Penang.
Perjalanan Kuching City antara yang menarik untuk diperkatakan, selepas mereka tampil sedikit suram dalam aksi Liga Super 2023 berbanding PDRM.
Pasukan tersebut berjaya mengejutkan Kedah di pentas suku akhir serta menyingkirkan Kelantan United untuk mara ke final musim ini dengan menyakinkan.
PDRM pula tidak berdepan sebarang masalah untuk mengatasi KL Rovers serta mengejutkan Penang di pentas separuh akhir untuk membuat perhitungan bersama Kuching City di final.
Jika dilihat, kedua pasukan tersebut memiliki aspek kelebihan tersendiri daripada segi kualiti permainan serta para pemain untuk menjadikan mereka serba menyakinkan dalam setiap perlawanan dihadapi.
James Okwuosa ‘kereta kebal’ PDRM
PDRM misalnya musim ini memiliki kekuatan cukup baik di posisi pertahanan mereka yang banyak mengecewakan pasukan-pasukan pilihan seperti Kedah, Selangor, serta Sabah.
Pertahanan import mereka iaitu James Okwuosa boleh dianggap memainkan peransn cukup besar dalam setiap perlawanan menerusi konsistensi ditunjukkan pemain ini untuk menyerap segala asakan lawan.
Pemain kelahiran Nigeria ini juga memiliki aspek kekuatan fizikal yang cukup kuat selain bijak membentuk kombinasi bersama rakan sepasukan lain dengan berdisiplin bagi menghalang sebarang peluang cuba dicipta lawan mendapatkan jaringan.
Abu Kamara ‘mesin’gol Kuching City
Untuk Kuching City pula, sudah tentu segalanya tertumpu kepada penjaring terbanyak mereka musim ini dari Liberia iaitu Abu Kamara.
Musim ini sahaja menyaksikan Kamara sudah pun muncul sebagai antara penjaring terbanyak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), menerusi sumbangan beliau di hadapan gawang gol.
Tampil dengan kualiti penyudah cukup tinggi, sudah tentu Aidil Sharin Sahak mempunyai perancangan tersendiri untuk memastikan Kamara mendapat umpanan terbaik pada aksi ini.
Kesimpulan
Apapun, perlawanan ini dilihat sangat terbuka buat kedua pasukan untuk mengatasi antara satu sama lain, walaupun PDRM beraksi di laman sendiri.
Ianya juga dianggap penting kerana hanya kemenangan dapat menyuntik motivasi terbaik buat mereka sebelum menghadapi perlawanan kedua bulan Disember ini.