Cerita 7 Jurulatih Yang Menemui Bakat 7 Pemain Bertaraf Dunia (Bahagian 2)

Nota editor: Artikel ini merupakan sambungan kepada artikel: Cerita 7 Jurulatih Yang Menemui Bakat 7 Pemain Bertaraf Dunia (Bahagian 1).

5. Hermann Gerland – pengarah akademi Bayern Munich yang memantau perkembangan Bastian Schweinsteiger



Bastian adalah salah satu bintang muda sukan ski di Jerman semasa dia menyertai akademi kami. Masa itu, dia baru berumur 13 tahun. Dia lebih minat bola sepak, jadi dia tinggalkan sukan ski.

Dia akan bangun pagi pada pukul 6 pagi, 5 hari seminggu. Kemudian dia akan naik tren untuk ke sekolah, dan bas ke Munich untuk berlatih dengan kami. Pada pukul 11.30 barulah dia sampai rumah. Dia tak kisah.

Apabila dia mula masuk asrama akademi kami dan dapat bermain untuk pasukan muda ‘B’ dalam final 2001 di Dortmund, barulah saya tahu dia betul-betul serius nak menjadi pemain profesional.

Tetapi pada umur 15 dan 16, saya rasa dia agak suka bermain-main. Dia bukannya malas. Dia cuma kuat bergurau dengan kawan-kawannya dan tak serius. Ketika dia berumur 17 tahun, dia sudah menjadi kesebelasan utama untuk skuad amatur kami.

Mentaliti dia juga kuat. Kalau pemain lain membiarkan satu perlawanan buruk mengikis keyakinan mereka, Basti pula tidak.

Saya masih ingat pasukan remaja kami tiada latihan pada hari Rabu. Tetapi, Basti tetap datang berlatih pada hari Rabu. Dia obses dan sentiasa teruja untuk belajar. Kita perlukan sikap seperti itu untuk berjaya.

Bakat dia pula sangat tinggi. Dia ada stamina, kemahiran teknikal, rembatan yang bagus. Cuma kemahiran menanduk bola dia sahaja yang lemah. Jadi saya suruh staf jurulatih saya bantu dia memperbaiki kemahiran menanduknya berjam-jam.

Semua staf akademi tahu Basti sentiasa suka bergurau. Kadang-kala, sikapnya itu membawa masalah. Pernah sekali pengawal keselamatan akademi kami menangkap Basti bersama seorang perempuan di jakuzi kompleks latihan kami.

Tetapi saya suka pemain macam dia. Sentiasa gembira, riang dan peramah. Saya tak kisah sangat dia nakal. Kami layan pemain kami seperti manusia, bukannya seperti robot yang sempurna sentiasa.

Saya paling suka bila saya tahu dia selalu tengok perlawanan pasukan amatur dan remaja kami bila dia ada masa lapang. Saya paling tak berkenan dengan tabiat dia yang suka pakai stokin tinggi-tinggi hingga melepasi lutut. Dia nampak macam perempuan bila pakai stokin seperti itu.



6. Barend Beltman – jurulatih Arjen Robben dari umur 11 hingga 16 tahun



Arjen menyertai FC Groningen semasa dia berumur 11 tahun. Sejujurnya, tiada siapa di FC Groningen boleh mengaku sebagai orang pertama yang menemui bakat Arjen Robben. Dia menyertai kelab kami pada hari pemilihan di sekolah.

Saya cuma membantunya berlatih di kelab. Saya takkan mengambil kredit dan berkata saya ajar dia bermain. Dia sendiri sudah tahu bagaimana untuk bermain.

Sesiapa sahaja boleh nampak bakat Arjen – seorang pemain sayap berkaki kiri yang selalu menjaringkan gol-gol cantik. Saya cuma risaukan kekuatan badannya. Bolehkah badan kecil ini bertahan dalam bola sepak profesional?

Tahun ketiga dia di akademi kami bukanlah tahun yang mudah baginya. Badan dia sangat kecil. Kemudian, tiba-tiba dia membesar dengan cepat. Akibatnya, belakang badan dia cedera. Fisio di akademi kami berkata badannya tak dapat menampung beban kerja yang bertambah selepas dia membesar.

Arjen tidak boleh bermain berminggu-minggu lamanya. Apabila dia dapat bermain, tempohnya sekejap sahaja sebelum dia cedera semula.

Bila dia kembali pulih dari kecederaan, dia cenderung untuk berlatih sehabis-habisan. Dia sentiasa bersedia untuk menyerang pertahanan lawan. Mungkin ini juga sebab beliau selalu cedera semula selepas pulih.

Arjen sangat berazam tinggi semasa muda. Dia tak pernah datang lewat ke latihan.

Tetapi pernah sekali dia datang 15 minit lewat ke latihan. Saya bertanya apa sebab dia lewat. “Kami pergi ke pasar tadi,” dia menjawab. Ketika itu, dia membawa kawan perempuannya ke padang latihan. Jadi saya bertanya:

“Berbaloi sangat kah datang lewat ke latihan untuk bawak kawan perempuan awak ni?”

“Ya, coach. Memang berbaloi.”

Kemudian, saya suruh dia masuk menyertai latihan. Beberapa tahun kemudian, semasa menghadiri majlis perkahwinan beliau, saya mendengar wanita yang beliau kahwini adalah kawan perempuan yang beliau bawa ke padang latihan dalam cerita saya tadi. Namanya Bernadien.



Saya masih ingat dengan jelas satu perlawanan di Enschede pada 13 Mei 2000. Bila separuh masa pertama tamat, Arjen dah menjaringkan 6-7 gol. Beliau berkata kepada saya:

“Coach, saya tak pernah menjaringkan 10 gol dalam satu perlawanan.”

“OK. Lepas ini (separuh masa kedua) jangan beri belas kasihan kepada mereka (pasukan lawan) dan carilah 10 gol,” jawab saya.

Selepas dia menjaringkan gol ke-9, dia mempunyai satu lagi peluang. Dia menyelusup melepasi kawalan 2 pemain dan mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol ke-10. Tiba-tiba dia memberi peluang gol tersebut kepada seorang lagi pemain yang tak pernah menjaringkan gol.

Itulah Arjen yang saya kenal. Budak yang baik dan boleh bekerja dalam satu pasukan.

Saya menjerit kepada dia, “Sekarang pergi jaringkan gol ke-10 awak”. Dia berjaya mendapat gol ke-10 yang dia nak.

Selepas itu, tiba-tiba kami merasa gegaran yang kuat di padang perlawanan. Rupa-rupanya sebuah kilang mercun telah meletup di Enschede, hanya beberapa batu dari tempat perlawanan kami. 23 orang mati dalam letupan tersebut.

Saya masih lagi mengikut perkembangannya. Bila kami berjumpa, dia masih seperti Arjen yang saya kenal semasa berumur 11 tahun. Baik dan sentiasa merendah diri.

7. Ramon Maddoni – jurulatih Club Parque, kelab pertama Carlos Tevez



Kali pertama saya jumpa Carlitos, dia mewakili pasukan bola sepak kampungnya, Santa Magdalena. Dia baru berumur 9 tahun. Ketika itu saya melatih Argentinos Junior, pasukan yang menjadi lawan Santa Magdalena. Selepas beberapa minit melihatnya bermain, saya tahu saya mahukan dia.

Carlitos mempunyai kualiti. Boleh menggelecek, kemahiran teknikal yang bagus, agresif dan sukar dikunci.

Saya mengajak Carlitos bermain untuk Argentinos Junior. Tetapi dia tak mahu. Dia mahu terus bermain untuk pasukan bola sepak kampungnya.

Kemudian, pada 1996 saya mendapat tawaran bekerja di Boca Juniors. Saya menghubungi Carlitos dan mengajak beliau menyertai pasukan saya sekali lagi. Beliau menjawab:

“Tidak, Ramon. Saya tak nak pergi ke Argentinos.”

“Saya bekerja di Boca Juniors sekarang,” jawab saya.

“OK. Kalau Boca, saya mahu.” Carlitos menyertai pasukan saya.

Seluruh keluarganya adalah peminat fanatik Boca Juniors. Oleh sebab itu, dia adalah penyokong fanatik Boca Juniors. Tetapi sebelum dapat menyertai Boca Juniors, dia perlu berlatih di Club Parque, sebuah kelab remaja yang saya uruskan.

Perjanjian saya dengan Boca adalah; setiap pemain muda yang masuk ke Boca Juniors perlu berlatih selama 2 tahun di Club Parque dahulu. Selepas 2 tahun, barulah mereka boleh bermain untuk pasukan remaja Boca Juniors.

Setiap Isnin, dia akan makan malam dan tidur di Club Parque. Ia adalah tradisi yang saya kekalkan selama 30 tahun sehingga kini. Pada malam Isnin, semua pemain dan jurulatih akan berkumpul di kafe kelab untuk makan malam.

Saya pernah berjumpa dengan Carlitos baru-baru ini (sekitar Mei 2013) dan dia berjanji akan meluangkan masa untuk datang pada hari Isnin dan makan malam bersama junior-junior Club Parque.

Pada umur 9 tahun, Carlitos sudah boleh menampan bola dengan dada, menggelecek dengan dua kaki, dan pandai menggunakan inside dan outside kakinya.

Semasa saya melatih Carlitos, saya banyak memperbaiki kemahiran menanduk dan menyudah dengan kaki kirinya. Tetapi keagresifan dan skil dia datang daripada dirinya sendiri.

Saya berpeluang melatih beberapa pemain Club Parque yang sudah menjadi pemain skuad kebangsaan Argentina: Sorin, Placente, Jonas Gutierrez, Cambiasso, Riquelme, Gago, Coloccini. Jadi saya boleh nampak potensi pemain muda dengan mata dan naluri saya.

Itulah yang saya buat sebelum Carlitos menyertai pasukan saya. Saya percaya kepada mata dan naluri saya. Apabila saya melihat Carlitos, naluri saya memberitahu dia bukan sahaja akan bermain untuk Boca. Malah untuk Argentina juga.

Saya masih ingat ketika umurnya baru 10-11 tahun, Carlitos menentang pasukan saya. Dalam satu perlawanan, dia menjaringkan 2 gol dan meraikan jaringannya dengan menari di depan saya.

Saya hanya mampu tergelak dan berkata kepadanya:

“Menarilah puas-puas. Nanti awak pula yang akan menari untuk saya.”

ramonmaddonitevez

Saya tiada keraguan Carlitos akan membawa kejayaan kepada mana-mana pasukan yang dia sertai. Dia mempunyai ‘api’ ketika bermain. Sesuatu yang jarang dapat kita lihat dalam diri pemain. Peminat bola sepak Brazil dan England pun sukakannya.

Baca juga: Cerita 7 Jurulatih Yang Menemui Bakat 7 Pemain Bertaraf Dunia (Bahagian 1)

Sumber: The Guardian, Getty Images

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN