Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu iaitu Mohd Sabri Abas meluahkan rasa kecewa selepas status pemain Sang Penyu iaitu Argzim Redzovic untuk diberi kerakyatan secara naturalisasi masih tidak diluluskan.
Argzim yang beraksi untuk posisi pertahanan Terengganu telah pun melepasi syarat ditetapkan bagi diberi status naturalisasi selepas beliau berkelana di Malaysia selama lima tahun.
Malah, pertahanan kental ini juga sudah pun mengahwini gadis tempatan di Malaysia sebelum itu dan mempunyai syarat kukuh untuk diberi status naturalisasi.
Walaupun begitu, sehingga kini jawapan tersebut masih belum diterima oleh pihak pengurusan Terengganu mengenai status pemain kelahiran Montenegro tersebut.
Timbul persoalan ketika ini jika status Argzim sengaja ‘diperam’ atas sebab tertentu yang menyebabkan beliau masih belum layak untuk didaftarkan selaku pemain tempatan pada musim hadapan.
Ini kerana seorang lagi pemain iaitu Romel Morales sudah pun diberi kerakyatan lebih awal dan telah menyertai kem kebangsaan berbanding Argzim yang masih belum diketahui status beliau.
Morales ketika ini sudah pun bersama kem kebangsaan untuk saingan Piala Asia 2023 walaupun tempoh permohonan dibuat oleh kedua pemain tersebut lebih kurang sama untuk mendapat taraf kerakyatan secara naturalisasi.
Menurut Sabri Abas, beliau mengakui ketika ini merasa sangat kecewa mengenai perkembangan Argzim walaupun permohonan sudah pun dibuat sebelum itu.
Ketika ini beliau hanya mampu mengharapkan agar status tonggak berusia 31 tahun itu mampu diluluskan untuk memudahkan pihak pengurusan Terengganu mendaftarkan beliau selaku pemain tempatan.
“Ya pihak kami sudah membuat permohonan kepada pihak berwajib bagi membolehkan Redzovic didaftarkan sebagai pemain naturalisasi, namun sehingga kini kami masih belum mendapat jawapan berhubung perkara itu biarpun rayuan sudah dibuat.
“Kami meletakkan harapan tinggi agar pemain itu mendapat pasport sekali gus membolehkan dia didaftarkan sebagai pemain tempatan,” kata Mohd Sabri menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Ketika ini Malaysia sudah pun memiliki lapan pemain naturalisasi yang sudah pun didaftarkan secara rasmi bermula dengan Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Paulo Josue, Endrick dos Santos serta Morales.
Untuk saingan Piala Asia ini, Kim Pan-gon telah pun memanggil empat daripada pemain naturalisasi tersebut iaitu Endrick, Josue, Sumareh, serta Morales.