Sri Pahang setakat ini tampil dengan prestasi yang sukar untuk dipertikaikan, selepas kejayaan mereka untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan Liga Super 2023.
Tampil dengan persembahan sederhana berbanding sesetengah kelab lain sejak pramusim, tidak ramai yang menjangkakan Sri Pahang mampu untuk menjadi sangat cemerlang ketika ini.
Sri Pahang kini 🔟 perlawanan 𝗧𝗔𝗡𝗣𝗔 𝗞𝗔𝗟𝗔𝗛 dalam liga!#TERSRP#LigaSuper2023 pic.twitter.com/UJs6mlOc2J
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 28, 2023
Bawah kendalian Fandi Ahmad, Sri Pahang hanya ditewaskan dalam satu perlawanan sahaja ketika aksi Piala FA 2023 pusingan kedua lalu di tangan Selangor.
Untuk aksi Liga Super, hanya Sri Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) masih unggul tanpa mencatat sebarang kekalahan lagi ketika ini dan sekali gus mula mendapat perhatian ramai.
Prestasi cemerlang itu jelas menggembirakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang iaitu Datuk Mohammed Suffian Awang dengan harapan pasukan tersebut mampu mengekalkan terus momentum sehingga penamat liga.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian Sri Pahang setakat ini apabila berada di kedudukan ketiga liga ketika ini. Pencapaian ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi mereka untuk kekal cemerlang dan mampu memberi tentangan kepada lawan yang lebih bagus pada baki perlawanan liga.
“Cabaran pasti lebih mencabar apabila berdepan Penang FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City selepas ini. Namun, pencapaian yang diperolehi setakat ini termasuk mengekalkan rekod tanpa kalah akan membantu untuk kekal berada pada prestasi lebih baik,” katanya menerusi Harian Metro.
Terbaharu, Sri Pahang terus mempamerkan aksi positif mereka selepas kejayaan untuk menewaskan Terengganu di gelanggang lawan menerusi keputusan 2-1.
Walaupun mencatat kemenangan, Sri Pahang masih lagi tampil dengan kelemahan mereka daripada segi jentera tengah yang kurang menyakinkan.
Menurut Suffian Awang, posisi tersebut perlu berubah kepada lebih baik jika Sri Pahang mahu konsisten mencatat keputusan baik pada siri perlawanan akan datang.
Malah, aspek kecederaan pemain di posisi tersebut ketika ini juga menjadi punca kenapa Sri Pahang tampil serba tidak menjadi di bahagian tengah pada beberapa perlawanan lalu.
3 mata yang sangat berharga di bumi Terengganu. Terima kasih semua#SriPahang#WhereLegendsAreBorn#HakkaClo#PosMalaysia pic.twitter.com/5k4iAX94A4
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) April 28, 2023
“Memang kita akui ada kelemahan apabila beberapa pemain di bahagian tengah seperti Sergio Aguero dan Kevin Ingreso apabila tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, ia memberi kesan terhadap persembahan pasukan.
“Tetapi apabila mereka kembali, bahagian tengah lebih bagus untuk membantu jentera serangan pasukan,” ulas beliau lagi.