Kelab Premier League, Manchester United telah membuat keputusan untuk tidak lagi menjual pemain mereka iaitu Anthony Martial.
Martial yang sebelum ini ibarat pemain buangan ketika rejim lama, dilihat semakin meningkat kualiti permainannya dan berpotensi untuk menjadi nadi utama pasukan musim ini.
Semuanya berubah selepas persembahan cemerlang Martial ketika jelajah pra-musim United sewaktu bertemu Liverpool, Melbourne Victory dan juga Crystal Palace.
Menurut laporan Manchester Evening News, keputusan untuk tidak menjual Martial telah pun disahkan sendiri oleh Erik ten Hag sebelum mereka terbang ke Bangkok untuk perlawanan pra-musim.
Keputusan untuk u-turn daripada menjual Martial itu bukanlah berlaku disebabkan prestasi baiknya di aksi pra-musim sebaliknya atas faktor lain.
Faktor ketiadaan Cristiano Ronaldo yang tidak menyertai perlawanan pra-musim akibat masalah keluarga menyebabkan Ten Hag memilih untuk memberikan Martial peluang.
Dengan Martial telah diberitahu oleh Ten Hag yang beliau tidak akan dijual, pastinya ia menaikkan semangat pemain tersebut untuk berikan yang terbaik buat United.
Dan tidak hairanlah mengapa pemain dari Perancis itu beraksi cukup cemerlang dalam saingan pra-musim ini – barangkali kerana mendapat semangat baharu.
Martial yang baru saja berusia 26 tahun masih lagi mempunyai masa untuk membaiki kualiti permainannya.
Mungkin dengan kehadiran Ten Hag akan meningkatkan lagi kualiti permainan Martial yang sudah dua musim tidak menepati standard yang ditetapkan oleh United.
Dengan kualiti yang semakin baik, tidak terkejut jika Martial terus digunakan dan akan diturunkan dalam aksi pertama Premier League menentang Brighton & Hove Albion kelak.