Nampaknya skrip 10 tahun lalu di Malaysia kali ini diulang kembali di Scotland. Persamaannya ada dua, warna hijau dan ‘double treble’.
Kami maksudkan Celtic Glasgow yang meraih tiga gelaran semusim dalam dua musim berturut-turut. Gelaran itu pertama kali dalam sejarah bola sepak di Scotland.
Raih trofi ketiga
Celtic menewaskan Motherwell dalam perlawanan akhir Scottish Cup. Callum McGregor menjaringkan gol untuk Celtic pada minit ke-11.
Gol awal itu memastikan Celtic mendahului perlawanan.
Kemudiannya, mereka menambah gol kedua melalui sepakan perlahan daripada Oliver Ntcham. Gol itu hadir pada minit ke-25.
Perlawanan itu menyaksikan Celtic mengalahkan Motherwell dengan 2 gol berbalas 0. Akhirnya, Celtic mengekalkan gelaran Scottish Cup yang ada pada mereka musim lalu.
Mereka juga mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Scotland dan Scottish League Cup.
Dengan kekalahan itu, Motherwell tidak dapat mara ke Liga Europa.
Tiada tiket Eropah
Sekiranya Motherwell memenangi Scottish Cup, mereka akan beraksi dalam pusingan kelayakan kerana Celtic sudah sah tempat untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Ini kerana, Celtic menjuarai Liga Perdana Scotland musim ini.
Aberdeen di tangga kedua liga tersebut akan memulakan kempen Eropah di pusingan kelayakan kedua Liga Europa. Manakala Rangers (ketiga) dan Hibernian (keempat) akan beraksi di pusingan kelayakan pertama Liga Europa.
Komen pengurus
Pengurus Celtic, Brendan Rodgers percaya pasukannya boleh buat lebih baik di masa hadapan. Dan kemenangan bergaya itu boleh menjadi motivasi untuk kelab.
Kami pasti penyokong Kedah berbangga kerana mereka mempunyai ahli baharu dalam kumpulan elit ‘Double Treble’ yang jarang berlaku di dunia.