Persembahan cemerlang Manchester City ketika aksi menentang Manchester United di Etihad telah berjaya membuatkan tuan rumah terus menunjukkan prestasi garang mereka dalam saingan Premier League.
Namun bukan sahaja garang sebagai satu pasukan, tiga pemain City semalam telah mencuri tumpuan apabila berjaya mempamerkan persembahan yang tiada penawarnya bagi United.
Kevin de Bryune meneruskan kecemerlangan sebagai arkitek kepada jaringan-jaringan City sambil Erling Haaland dan Phil Foden begitu hebat merobek gawang United.
Persembahan pemain Norway dan England itu cukup hebat hinggakan mereka berdua mencatatkan hatrik dalam perlawanan yang sama.
Lazimnya, jika seseorang pemain mencatatkan hatrik, mereka akan dibenarkan untuk membawa pulang bola perlawanan sebagai tanda kecemerlangannya.
Tapi itu kalau seorang saja, bagaimana kalau dua orang pemain?
Tiada tradisi rasmi
Jika diikutkan tiada pun peraturan rasmi untuk pemain yang mencatatkan hatrik dalam satu-satu perlawanan.
Sebaliknya, amalan yang berbeza-beza dilakukan dan terpulang kepada keadaan.
Dalam situasi Haaland dan Foden ini, kedua-dua pemain akan diberikan bola perlawanan untuk dibawa pulang.
Hal ini disebabkan, bola yang digunakan dalam perlawanan semalam adalah lebih daripada satu dan tiada masalah untuk kedua-dua pemain memperolehnya.
Dan jika sebuah perlawanan itu menggunakan satu bola sahaja, maka satu bola yang tidak digunakan akan diberkan kepada pemain kedua yang memperoleh hatrik.
Jika hanya memang satu bola sahaja yang ada, maka budi bicara antara dua pemain akan dilakukan.
Kalau daripada dua pasukan berbeza?
Bayangkan saja tau, seandainya Anthony Martial mencatatkan hatrik, bagaimana pula ianya hendak dikira?
Jika perkara ini berlaku semalam, kemungkinan kesemua Haaland, Foden dan Martial akan memperoleh bola untuk dibawa pulang kerana faktor bilangan bola yang dipakai.
Tetapi jika dalam situasi lain, terdapat beberapa cara yang digunakan untuk memberikan bola jika ianya boleh dibagi kepada seorang sahaja.
Sebagai contoh, rating pemain akan diambil kira untuk menentukan siapa yang bakal menerima bola tersebut.
Maksudnya di sini, jika salah satu pemain mempunyai rating perlawanan (match rating) lebih tinggi daripada pemain lain yang mencatatkan hatrik, maka bola akan diberikan kepadanya.
Selain daripada itu, terdapat cara lain untuk menentukan perkara ini sebagai contoh dengan mengira tempoh masa seseorang pemain itu mencatatkan hatrik.
Jika pemain A mencatatkan hatrik dalam masa 25 minit dan pemain B pula selama 30 minit, maka bola akan diberikan kepada pemain A kerana berjaya melengkapkan hatrik dengan lebih pantas.
Jadi berikut adalah cara-cara seseorang pemain itu ditentukan untuk membawa pulang bola perlawanan selepas memperoleh hatrik.
Ianya tiada peraturan tetap dan pelaksanaannya semua berbeza-beza.