Pemain tengah Real Madrid, Casemiro jelas tidak berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan Los Blancos di separuh masa pertama pada pertemuan La Liga menentang Sevilla awal pagi tadi.
Real Madrid mempamerkan aksi hambar pada 45 minit pertama hingga menyebabkan skuad yang dibimbing Pablo Machin itu berjaya mendahului 3-0.
Dua jaringan dari Andre Silva dan Wissam Ben Yedder menambah jaringan ketiga jelas memberikan kesukaran buat anak buah Julen Lopetegui.
Cubaan untuk kembali bangkit selepas perlawanan kembali bersambung tidak mampu untuk menghalang mereka dari menerima kekalahan pertama liga selepas enam perlawanan tersebut.
Bagi pemain antarabangsa Brazil, Casemiro ternyata kecewa dengan apa yang dipamerkan pada perlawanan di Ramon Sanchez Pizjuan itu.
”Kami telah memberikan separuh masa pertama kepada mereka (Sevilla),” ujar Casemiro selepas perlawanan tersebut.
”Kami tidak beraksi seperti yang kami pamerkan pada setiap musim.”
”Mereka (Sevilla) merupakan lawan yang sangat sukar untuk ditentang dan jika kami memberikan 45 minit kepada mereka, inilah yang terjadi (seperti aksi pagi tadi).”
Casemiro turut mengulas mengenai aksi derbi Madrid pada hujung minggu ini apabila Real Madrid akan bertemu Atletico Madrid.
”Setiap perlawanan adalah sukar. Apabila beraksi pada perlawanan derbi di tempat sendiri, kami perlu meraih mata. Ini merupakan perseteruan yang hebat.”
Dalam masa sama kekalahan yang dialami Barcelona memberikan sedikit kelegaan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan 13 mata untuk kekal bagi seteru La Liga itu memimpin saingan ketika ini.