Bagaimanakah Kedudukan Liga Super 2018 Jika Hanya Jaringan Pemain Tempatan Dikira?

Sering kali kita mendengar kerisauan apabila pihak Malaysia Football League (MFL) membuat keputusan untuk membenarkan 5 pemain import dalam satu-satu pasukan.

Kerisauan itu pastinya adalah kerana pasukan Liga Malaysia cenderung mendapatkan pemain import di bahagian serangan.

Hal ini akan menyebabkan aksi penyerang tempatan akan menjadi terhad kerana kebergantungan kepada penyerang import.

Pastinya anda terfikir yang jaringan dari pemain tempatan kurang bukan?

Oleh itu, penulis membuat satu kajian statistik tentang bagaimana rupa kedudukan unifi Liga Super 2018 seandainya HANYA jaringan pemain tempatan sahaja yang dikira?

Hasil kajian ini menemukan beberapa fakta menarik, ini hasilnya.

p/s: Kajian ini juga turut ambil kira jaringan sendiri yang dihasilkan oleh pemain tempatan.

JDT tak pinggir bakat tempatan

Johor Darul Ta’zim (JDT) dikenali sebagai pasukan yang sering mendapatkan pemain import yang berprofil tinggi.

Hal ini menyebabkan, terdapat pemikiran yang mengatakan JDT tidak memberi peluang untuk pemain tempatan untuk menyinar.

Namun begitu hasil dari kajian yang penulis lakukan mendapati, JDT merupakan pasukan yang paling banyak menghasilkan gol menerusi pemain tempatan sepanjang liga berlangsung.

Mereka juga kekurangan 1 gol sahaja dari memperoleh 19 gol daripada para pemain tempatan.

Safawi Rasid antara penjaring tempatan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini. Gambar. JOHOR Southern Tigers

Hasil dari kajian ini juga menyaksikan, pasukan yang dilihat bergantung harap kepada penyerang import seperti Kuala Lumpur juga mampu memperoleh jaringan yang banyak dari pemain tempatan.

Lebih menarik, rekod jaringan pemain tempatan oleh Kuala Lumpur lebih tinggi berbanding pasukan utama seperti Kedah dan juga Pahang.

Berikut adalah carta jumlah jaringan yang dihasilkan oleh pemain tempatan mengikut pasukan:

  1. JDT – 19 gol
  2. Kuala Lumpur – 16 gol
  3. PKNP FC – 15 gol
  4. Kelantan – 14 gol
  5. Selangor – 13 gol
  6. PKNS FC – 12 gol
  7. Perak – 12 gol
  8. Kedah – 12 gol
  9. Terengganu – 9 gol
  10. Pahang – 8 gol
  11. Melaka United – 7 gol
  12. Negeri Sembilan – 7 gol

Kelantan terselamat, Melaka United tersingkir

Keputusan kajian yang dilakukan oleh penulis menyaksikan kedudukan carta liga turut berubah sekiranya jumlah keputusan hanya dikira menerusi jaringan pemain tempatan sahaja.

Perubahannya bukan sedikit tetapi ketara! Pasukan yang pada carta asal menduduki kelompok atasan liga jatuh ke bahagian bawah liga.

Setelah dikira semula, kajian mendapati JDT masih lagi menjuarai Liga Super 2018.

Namun begitu, mereka menjuarai liga dengan rekod 1 kekalahan tetapi bukan ditangan Kuala Lumpur.

Sebaliknya, mereka tewas ditangan Selangor di Cheras.

Para pemain Selangor meraikan gol menentang JDT. Gambar: JOHOR Southern Tigers

Hal ini kerana, dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur di Cheras yang menyaksikan JDT tewas 1-0 memperlihatkan jaringan tunggal diperoleh hasil gol dari Paulo Josue.

Tiada jaringan dari pemain tempatan, jadi kedudukan berubah menjadi 0-0.

Sebaliknya aksi Selangor-JDT yang berakhir dengan jaringan 2-2 berubah menjadi 1-0 memihak Selangor.

Hal ini kerana, satu gol Selangor terhasil menerusi pemain tempatan menerusi Saiful Ridzuwan.

3 lagi gol terhasil menerusi pemain import iaitu Rufino Segovia, Gonzalo Cabrera dan juga Harry Novillo.

Selain itu, Kelantan berjaya mengelak dari tersingkir ke Liga Premier sekiranya hanya jaringan pemain tempatan sahaja yang dikira.

Mereka melonjak naik dari tangga ke-11 ke tangga ke-7 liga.

Shafiq Shahrudin antara pemain tempatan yang konsisten memberikan gol untuk Kelantan. Gambar: Kelantan FA

Tempat Kelantan pula diisi oleh Melaka United yang turun bersama-sama Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan kekal di kedudukan tercorot liga.

Naib juara liga juga berubah menerusi perkiraan ini. Perak yang menduduki tangga kedua jatuh ke tangga ketiga.

Posisi naib juara diisi oleh pasukan PKNS FC.

Hasil dari kajian ini juga menyaksikan Kedah dan Terengganu menduduki kedudukan 4 terbawah liga.

Kedah menamatkan musim dengan kekecewaan di tangga ke-9 sementara Terengganu pula di tangga ke-10.

Majoriti gol Terengganu musim ini dijaringkan oleh pemain import dan Tchetche Kipre adalah salah seorang penyumbangnya. Gambar: Terengganu Football Club

Selangor berjaya memperbaiki kedudukan mereka apabila berjaya menduduki tangga ke-5 liga dan PKNP FC menduduki tangga ke-4 liga.

Berikut merupakan kedudukan penuh carta Liga Super sekiranya hanya jaringan pemain tempatan sahaja yang dikira:

  1. JDT – 39 mata
  2. PKNS FC – 35 mata
  3. Perak – 30 mata
  4. PKNP FC – 29 mata
  5. Selangor – 28 mata
  6. Pahang – 28 mata
  7. Kelantan – 27 mata
  8. Kuala Lumpur – 26 mata
  9. Kedah – 26 mata
  10. Terengganu – 24 mata
  11. Melaka United – 20 mata
  12. Negeri Sembilan – 17 mata

Sekarang ini, bandingkan pula dengan kedudukan asal Liga Super 2018. Terdapat perbezaan ketara disitu dari segi kedudukan liga.

Trivia menarik

Hasil kajian ini menyaksikan beberapa penemuan menarik, antaranya:

  • 36% daripada 400 gol yang terhasil dalam saingan Liga Super musim ini adalah dari pemain tempatan (145 gol)
  • 45 daripada 132 perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0 jika hanya penjaring tempatan sahaja yang diambil kira
  • Perlawanan Kelantan-Kuala Lumpur pada aksi LS9 menyaksikan jaringan oleh pemain tempatan terbesar dalam satu-satu perlawanan [keputusan 4-2 (penjaring tempatan: 6)]
  • Perlawanan LS1 menyaksikan hanya 1 pemain tempatan sahaja yang menjaringkan gol (Qayyum Marjoni – PKNS FC)
  • Aksi LS18 menyaksikan 13 daripada 23 gol dihasilkan oleh pemain tempatan – paling tinggi dalam mana-mana hari perlawanan Liga Super 2018

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN