Penyokong Shanghai Shenhua Semakin Menyampah Dengan Sikap Carlos Tevez

Carlos Tevez sekali lagi dilanda ‘homesick’. Beliau memberitahu media Argentina yang beliau mahu pulang ke Argentina dan bermain untuk Boca Juniors. Tevez berkata:

“Kontrak saya sangat rumit dan sukar untuk saya kembali ke Boca Juniors. Orang China bukannya bodoh.”

Memang orang China tidak bodoh. Namun kini semakin ramai orang China yang menyokong Shanghai Senhua merasakan kelab tersebut diperbodohkan oleh Carlos Tevez.

Mereka mulai mempertikaikan komitmen Tevez kepada pasukan tersebut dengan menerima gaji sekitar £615,000 seminggu.

Penyokong Shangai Senhua mulai mengomel dan mengkritik di media sosial tentang Tevez. Mereka tidak peduli lagi tentang pemain 33 tahun itu sama ada dia nak bermain lagi ataupun nak pulang ke Argentina.

Mereka kecewa apabila Tevez terlalu gemar balik ke Argentina setiap kali dilanda kecederaan. Pemain lain pula meluangkan masa di kelab untuk fokus kepada pemulihan.

Sebelum ini Tevez dilaporkan kurang cergas. Tetapi tular gambar dia dengan keluarga bercuti di Disnyeland China. Namun pihak kelab mempertahankan Tevez dan menyatakan kelab tidak kisah akan hal tersebut.

Peminat yang dahulunya menyokong Tevez kini mulai beralih arah. Apa relevannya seorang pemain profesional yang cedera tidak memasuki sesi rawatan pemulihan? Sedang rakan-rakannya berjuang di ACL, dia pula memaparkan detik bersantai di Disneyland?

Lalu keluar satu paparan akhbar China dengan tajuk: ‘ Ada apa dengan kamu?’

Ogos lalu, dia pulang ke Buenos Aires kerana dia tidak boleh bermain dek kerana kecederaan. Dia meluangkan masa hampir sebulan di Argentina dan baru kembali minggu lalu.

Bermacam-macam nama panggilan diberikan peminat Senhua kepada Tevez dalam bahasa Cina. Antara gelaran yang diberikan adalah ‘very homesick boy’ dalam bahasa Cina.

Rakan-rakannya di City dan Juventus mungkin faham akan sikap Tevez ini. Pada tahun 2010, rakan sepasukan beliau, Roque Santa Cruz menjelaskan:

“Dia mahu berada di satu tempat yang ramai orang Argentina. Hatinya sentiasa ada di luar sana bersama-sama keluarganya di Argentina.”

“Saudara-mara, teman wanita (kini isteri) dan anak perempuannya semua ada di sana. Apabila dia mendengar tanah air anda memanggil anda balik, dia akan melakukan apa sahaja untuk pulang ke sana.”

Kini Tevez bukanlah pemain utama yang mampu membawa Shanghai Senhua kepada persaingan kejuaraan. Tevez seringkali dibandingkan dengan Hulk di Shanghai SIPG, kelab seteru sebandar mereka. Hulk seorang pemain yang berjuang seluruh jiwa raga demi pasukan.

Kini Shanghai Senhua berada di tangga ke-11 hasil daripada 6 menang, 6 seri dan 10 kekalahan.

Tevez tidak beraksi walaupun separuh daripada 22 perlawanan liga kelab tersebut setakat ini. Beliau hanya menjaringkan 2 gol dan salah satu daripadanya ialah menerusi penalti.

Hatinya sudah tidak ada di China lagi. Dia sudah berada di tempat lain meskipun dia membawa keluarganya ke sana.

Pengurus beliau, Gus Poyet antara orang yang berhadapan dengan proses menyesuaikan diri yang sukar di China kerana faktor bahasa. Poyet mempertahankan Tevez dan menyatakan dia faham akan masalah Tevez. Dia berkata:

“Bahasa di sini sangat rumit. Namun ada orang menderita lebih daripada sekadar bahasa. Mereka menderita kerana makanan di sini. Dan itu yang terjadi kepada Tevez.”

“Pemain Amerika Latin seperti Fredy Guarín dan Moreno sentiasa mencuba yang terbaik untuk menyesuaikan diri. Kami mengadakan barbeku dan terpaksa mengeluarkan makanan Cina.”

Senhua yang ada pada hari ini jauh lebih bertolak ansur berbanding era Anelka dan Drogba. Dahulu kelab tersebut dimiliki Zhu Jun. Dia pernah memecat seorang jurulatih yang baru kehilangan ibunya. Zhu Jun juga pernah memasukkan namanya sendiri dalam perlawanan persahabatan menentang Liverpool.

Zhu Jun dahulu lebih mengutamakan promosi perniagaan permainan di atas talian beliau berbanding dengan bola sepak. Berbeza dengan pemilik yang ada pada hari ini yang lebih serius mahu bersaing.

Kini Carlos Tevez menjadi pemain yang dibenci oleh ramai peminat Shenhua. Adakah Shanghai Senhua akan mengambil tindakan yang lebih tegas kepada Tevez selepas ini?

Tevez seharusnya memikirkan semasak-masaknya sebelum ke China dahulu. Beliau menolak untuk melanjutkan kontrak di Juventus kerana mengakui ‘homesick’.

Betullah kata orang, tak semua perkara di dunia ini boleh dibeli dengan duit.

Sumber

The Guardian – https://www.theguardian.com/football/2017/sep/03/carlos-tevez-football-chinese-super-league

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN