Kegagalan membantu pasukan pada Piala Dunia 2018 di Rusia selain mempamerkan prestasi buruk di kejohanan tersebut telah mengundang pelbagai spekulasi mengenai masa depan Lionel Messi bersama Argentina.
Sebelum ini, bintang Barcelona itu pernah menyatakan hasrat untuk bersara dari skuad kebangsaan selepas gagal membantu pasukannya menjuarai Copa America pada tahun 2015.
Namun, keputusan itu ditarik semula dengan alasan untuk membantu Argentina di kejohanan Piala Dunia 2018.
Selepas berakhirnya Piala Dunia, khabar angin mengenai persaraan Lionel Messi di peringkat antarabangsa kembali hangat diperkatakan buat kali kedua.
Peminat bola sepak berpendapat Lionel Messi sudah boleh melupakan Piala Dunia dan membuat keputusan untuk bersara dari skuad kebangsaan.
Disebalik tekanan yang dihadapi Messi ketika ini, bekas penyerang Argentina, Carlos Tevez hadir memberi sokongan moral kepada beliau.
Menurut Tevez, dirinya masih yakin dan mempercayai kemampuan Messi dan berharap pemain itu mempertimbangkan hasrat untuk bersara.
“Saya fikir Leo (Messi) harus memikirkan tentang dirinya,” kata Tevez kepada ESPN.
“Dia harus berfikir bahawa, jika tidak ada sesuatu misi yang membuatnya bahagia dan di mana dia merasa selesa, sangat sukar untuk mengambil tanggungjawab memimpin Argentina dengan hanya mengharapkan dirinya seorang.”
“Kami (pemain Argentina) banyak membuang masa, tidak membuatkannya gembira dan gagal membantunya mencapai sasarannya itu. Saya fikir, kami bersalah dalam hal ini kerana gagal buat dirinya berasa tenang.”
Carlos Tevez urges Lionel Messi not to give up on Argentina. pic.twitter.com/7cUx9N9OLs
— ESPN FC (@ESPNFC) July 18, 2018
Tambahnya lagi, “Sebagai pemain dan rakyat Argentina, saya berkata kepadanya kami masih memerlukan khidmatnya di Argentina.”
“Kita masih mahukannya kerana dia memiliki jiwa Argentina dan selagi dia masih bermain bola sepak, dia harus kekal bermain kerana dia adalah idola Argentina.”
Tevez juga sempat berpesan kepada bekas rakan sepasukannya itu agar melupakan kisah lalu dan berehat dengan tenang.
“Sekarang (saya katakan kepadanya) agar dia berehat, jangan terlalu memikirkannya, cuba untuk tenangkan fikiran dan kembali positif. Kami masih perlukan dia di padang.”