Kisah Carlos Queiroz & ‘Shirane Pars’, Harapan Asia Gegar Piala Dunia

Jika anda adalah salah seorang panel pemilih yang dilantik oleh FIFA untuk menamakan jurulatih terbaik dunia, siapakah yang anda calonkan?

Sebagai peminat sukan bola sepak, anda pasti menyenaraikan nama-nama hebat di dalam bola sepak seperti Jose Mourinho, Pep Guardiola, Zinedine Zidane, Joachim Leow, Fernando Santos, atau pun Jorge Sampaoli.

Kecenderungan memilih nama-nama seperti di atas ada asasnya. Mereka memiliki pencapaian dan ilmu taktikal luar biasa, membimbing pasukan masing-masing menjulang kejuaraan demi kejuaran.

Adakah anda akan mencalonkan satu lagi nama yang tidak asing tetapi kurang popular jika dibandingkan dengan nama-nama di atas, dab telah berjaya membimbing pasukan kebangsaan Iran layak ke Piala Dunia dengan rekod luar biasa?

Individu yang dimaksudkan ialah Carlos Queiroz.

Carlos Queiroz

Carlos Queiroz adalah seorang pengurus kelahiran Mozambique dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan bola sepak.

Antara pasukan yang pernah dibimbing oleh Queiroz sepanjang 28 tahun di dalam bidang kejurulatihan ialah Real Madrid, Nagoya Grampus Eight di Jepun, pasukan kebangsaan Portugal, Afrika Selatan dan juga United Arab Emirates (UAE).

(Photo by Amin Mohammad Jamali/Getty Images)

Selepas gagal menyerlah bersama pasukan-pasukan bimbingannya, ada pihak berpendapat Queiroz bukanlah jurulatih yang sesuai untuk dilantik sebagai ketua jurulatih atau pun pengurus sesebuah pasukan.

Tidak hairanlah pencapaian terbaiknya di dalam bidang kejurulatihan akan sentiasa dikenang ketika bersama Sir Alex Ferguson di Manchester United selaku penolong pengurus.

Oleh kerana itu, ramai yang agak skeptikal akan keputusan Carlos Queiroz untuk menerima tawaran Iran sebagai ketua jurulatih pada 2011.

Iran- ‘Shirane Pars’ yang mengaum garang

Iran tidak pernah memberikan impak di arena antarabangsa selain daripada di benua Asia. 3 kali juara Piala Asia, yang terakhir adalah pada 1976.

Tampil dalam 4 edisi Piala Dunia sebelum ini sejak 1978, satu-satunya kemenangan ialah pada 1998 ketika menang 2-1 ke atas Amerika Syarikat.

6 tahun bersama Iran, Carlos Queiroz menhasilkan pasukan yang mengkagumkan. Sedikit sebanyak ia telah menutup mulut pengkritik-pengkritik yang sering meragui kebolehannya.

‘Shirane Pars’ adalah gelaran lain buat pasukan kebangsaan Iran yang membawa maksud Singa Persia.

(Photo credit should read ATTA KENARE/AFP/Getty Images)

Bersama-sama Carlos Queiroz, Singa Persia tersebut tampil garang dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 Zo untuk menjadi pasukan kedua selepas Brazil melayakkan diri ke Rusia.

Dan Iran melalui kempen kelayakkan tersebut dengan cemerlang.

Di peringkat awal pusingan kelayakkan, Iran berada di dalam Kumpulan D bersama-sama Oman, Turkmenistan, Guam dan India. Iran dengan mudah menjuarai kumpulan tersebut dengan 6 kemenangan dan 2 seri untuk berada di kedudukan teratas kumpulan.

Cabaran di pusingan berikutnya lebih sukar. Korea Selatan adalah pilihan utama. Syria, Uzbekistan, China dan Qatar juga akan memberikan saingan.

Iran melalui kempen kelayakkan dengan jayanya. 10 perlawanan dilalui, Iran merekodkan 6 kemenangan dan 4 seri, menewaskan Korea Selatan di dalam salah satu perlawanan untuk merebut slot automatik ke Rusia.

(Photo credit should read ATTA KENARE/AFP/Getty Images)

Lebih daripada itu, Queiroz dan Iran melalui 810 minit bola sepak tanpa dibolosi pihak lawan sehinggalah di perlawanan terakhir apabila seri 2-2 menentang Syria, ketika mereka sudah pun melayakkan diri.

Prestasi dan keputusan yang dicapai di atas padang turut memberi refleksi kepada senarai kedudukan  yang dikeluarkan oleh FIFA.

Iran adalah pasukan di kedudukan tertinggi di kalangan negara-negara Asia untuk tempoh 4 tahun kebelakangan ini, memanjat kedudukan senarai FIFA sehingga ke tangga yang ke-24 pada Ogos lalu (ke-25 terbaru).

Kedudukan ini bermakna Iran berada 20 tangga lebih tinggi berbanding Jepun yang merupakan pasukan kedua terbaik dari Asia.

Adakah ia semudah itu untuk Carlos Queiroz?

Ketidakstabilan politik Iran

Kejayaan Queiroz mengubah bola sepak Iran bukanlah kebetulan. Ia juga bukan satu tanggungjawab yang mudah buat pengendali yang pernah menjadi orang kepercayaan legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Kuasa politik memainkan peranan dalam bola sepak Iran. Persiapan untuk perlawanan besar sering terjejas.

(Photo by Amin Mohammad Jamali/Getty Images)

Pengasingan politik yang dilalui oleh Iran di peringkat antarabangsa sering menjadi sebab pasukan kebangsaan Iran sukar mendapatkan lawan untuk mengadakan perlawanan persahabatan, menjejaskan dana kewangan persatuan, menjadikan bola sepak di Iran lebih sukar diurus berbanding di negara-negara Asia yang lain.

Keadaan ini mengalami penambahbaikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun masih merupakan salah satu halangan besar jika negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia dijadikan perbandingan.

(Photo by Chung Sung-Jun/Getty Images)

Beberapa bulan lalu, Iran melarang 2 pemain utamanya menyertai pasukan kebangsaan yang disenaraikan Queiroz selepas beraksi bersama kelab masing-masing di Greek dalam perlawanan peringkat eropah bertemu lawan dari Israel.

Ini menyebabkan kapten pasukan, Masoud Shojaie digantung daripada skuad Iran walaupun seorang lagi pemain, Ersan Haji Safi berada di dalam senarai pasukan pada Ogos lalu.

Sehingga artikel ini ditulis kedudukan Masoud Shojaie bersama Iran untuk ke Piala Dunia 2018 belum lagi diketahui.

Misi peribadi Queiroz & misi nasional Iran

Sepanjang tempoh 6 tahun bersama Iran, Carlos Queiroz telah beberapa kali mengugut untuk meletakkan jawatan. Hubungannya dengan badan bola sepak Iran sentiasa tegang kerana tuntutan Queiroz yang sering bercanggah dengan pendirian persatuan dan sekatan oleh kerajaan Iran.

Namun satu perkara yang pasti ialah, Iran menyedari bahawa pasukan kebangsaan mereka berada di tangan yang betul di bawah kendalian Queiroz yang pernah bergelar penjaga gol ketika karier sebagai pemain.

(Photo by Amin Mohammed Jamali/Gallo Images/Getty Images)

Queiroz telah menjadikan pasukan kebangsaan Iran sebagai sebuah pasukan yang mampu beraksi dengan konsisten. Lebih daripada itu, Iran mampu beraksi di bawah tekanan dan ketika harapan setinggi gunung diletakkan di bahu pemain.

Jelas ia adalah kualiti yang dicemburui oleh pesaing mereka, Korea Selatan.

Pada satu ketika di pusingan kelayakkan pada kali ini, Korea Selatan kelihatan terumbang ambing dan pemain-pemainnya seperti tidak ada semangat melawan apabila berhadapan situasi sukar.

(Photo credit should read JUNG YEON-JE/AFP/Getty Images)

“Di dalam situasi sebegini, pemain akan berhadapan dengan tekanan tinggi. Tetapi mereka adalah pemain skuad kebangsaan. Mereka harus menghadapi tekanan tersebut dan menunjukkan prestasi sebenar,” ulas Park Ji-Sung yang merupakan anggota skuad Korea selatan pada Piala Dunia 2002.

Menjelang Piala Dunia 2018 di Rusia, Carlos Queiroz dan juga Iran pasti tampil dengan agenda mereka yang tersendiri. Agenda mungkin berbeza, misinya tetap untuk melakar sekurang-kurangnya kejutan, tampil sebagai jaguh Asia yang harus digeruni lawan.

‘Shiran-e Pars’ kini harapan Asia

Keupayaan Iran sudah terbukti secara berpasukan. Namun ia tidak akan mampu untuk berjaya tanpa kehadiran pemain-pemain berkebolehan yang diberikan kepercayaan oleh Queiroz.

(Photo credit should read ATTA KENARE/AFP/Getty Images)

Prestasi Karim Ansarifard (gambar atas) menyerlah bersama Olympiacos. Reza Ghoochannejhad adalah penjaring ketiga terbanyak di Belanda pada musimm lalu.

Penyerang tempatan, Mehdi Taremi juga mendiamkan mereka yang mempersoalkannya dengan gol-gol penting sepanjang pusingan kelayakkan yang lalu.

(Photo by Amin M. Jamali/Getty Images)

Di bahagian tengah, Saeid Ezatolahi yang berpengkalan di Rusia menunjukkan kematangan dalam permainannya walaupun hanya berusia 20 tahun.

Rumusan

Di bawah bimbingan Carlos Queiroz, kita bukan sahaja melihat sebuah pasukan kebangsaan yang berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia.

Lebih daripada itu, inilah pasukan yang akan mendominasi bola sepak Asia pada masa akan datang. Iran pasti akan tampil di Rusia sebagai sebuah pasukan harapan dari benua Asia.

Untuk apa yang sudah tercapai setakat ini, kredit harus diberikan kepada Carlos Queiroz. Pencapaiannya mungkin bukan dengan salah sebuah pasukan besar dari Eropah. Tetapi Queiroz selayaknya berada di dalam senarai akhir untuk menerima anugerah Jurulatih Terbaik FIFA pada bulan hadapan.

Sumber:

1. John Duerden, ESPN FC (2017): Former Manchester United assistant Carlos Queiroz works wonders in Iran; http://www.espnfc.com/club/iran/469/blog/post/3190726/former-manchester-united-assistant-carlos-queiroz-works-wonders-in-iran

2. The Indian Express (2017): Iran drop Masoud Shojaei from qualifiers after Israeli game; http://indianexpress.com/article/sports/football/iran-drop-masoud-shojaei-from-qualifiers-after-israeli-game-4815897/

3. Thomas Erdbrink, New York Times (2017): Iran Bans Two Soccer Stars for Playing Against Israelis; https://www.nytimes.com/2017/08/10/world/middleeast/iran-soccer-masoud-shojaei-ehsan-haji-safi.html?mcubz=0

4. Andy Hunter, The Guardian (2017): Carlos Queiroz retaining order amid chaos of Iran’s World Cup buildup; https://www.theguardian.com/football/2014/jun/15/carlos-queiroz-iran-world-cup

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN