Pengurus Everton, Carlo Ancelotti yang pernah mengecapi kegemilangan bersama AC Milan melihat selain daripada pendekatan serta taktikal Stefano Pioli terhadap pasukannya pada ketika ini, ada aspek lain membantu peningkatan prestasi kelab Serie A itu.
Antara faktor lain dimaksudkan oleh Ancelotti ialah keberkesanan langkah Pengarah Teknikal AC Milan, Paolo Maldini dalam membawa masuk pemain-pemain yang berkualiti buat kelab Rossoneri tersebut.
AC Milan kelihatan berada di landasan tepat untuk kembali bangkit daripada ‘tidur yang panjang’ apabila mereka sedang mendahului saingan Serie A 2020/21 dengan kelebihan satu mata di hadapan musuh tradisi, Inter Milan selepas mengharungi 15 perlawanan.
Sehubungan dengan itu, Ancelotti yang pernah memenangi lapan kejuaraan sebagai pengurus AC Milan melihat kombinasi menarik ditampilkan telah memberikan perubahan positif terhadap pasukan tersebut.
”Begitu jelas sekali, mereka bekerjasama dengan sangat baik,” ujar pengendali berusia 61 tahun itu menurut laporan dikeluarkan Goal Indonesia.
”Terima kasih buat [Paolo] Maldini kerana menjalankan tugasan dengan hebat dalam merekrut pemain-pemain muda yang mempamerkan aksi dengan baik.”
Dalam perkembangan lain, tugas berat menanti Pioli dan anak buahnya bagi terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga pada awal pagi esok apabila AC Milan bakal berdepan juara bertahan, Juventus di San Siro.
AC Milan yang kali terakhir menjuarai kempen Serie A pada musim 2010/11 ketika di bawah kendalian Massimiliano Allegri, kini mengumpul 37 mata hasil 11 kemenangan dan empat keputusan seri.
Kredit featured image: Pier Marco Tacca/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Paolo Maldini:
Paolo Maldini, Ikonik No.3 Dan Simbol Pemain Pertahanan Terbaik Sepanjang Zaman
Lagenda AC Milan Paolo Maldini Kini Merupakan Pemain Tenis Profesional!
Paolo Maldini Pilih Diego Maradona Dan Ronaldo Sebagai Lawan Paling Sukar Sepanjang Karier