Kelibat penyerang sensasi negara, Darren Lok mungkin tidak akan bersama Petaling Jaya City (PJ City) lagi pada musim hadapan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Ini kerana beberapa hari lalu, isteri kepada pemain tersebut iaitu Abigail Mary Ryan telah pun menyertai satu komuniti Facebook, Sabah Property untuk mencari rumah sewa baharu di sana.
“Hai semua, saya dan suami akan bergerak ke Kota Kinabalu pada Disember atau Januari hadapan serta ketika ini sedang mencari rumah untuk disewa.
“Kami sangat teruja untuk ingin tahu kawasan di Residensi D’Banyan. Adakah sesiapa tahu mana-mana unit rumah di sana untuk disewa?,” jelas kenyataan isteri Darren di Facebook.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik itu semakin menguatkan khabar mengenai perpindahan Darren bersama Sabah pada musim hadapan.
Darren yang beraksi selama dua musim sebelum itu bersama PJ City dilihat berjaya menaikkan kembali nama beliau selaku salah seorang penyerang terbaik negara menerusi prestasi dirinya bersama pasukan tersebut.
40' GOL | PJ City kini mendahului di Stadium MBPJ menerusi gol ke-10 peribadi Darren Lok musim ini!@pjcityfc 1-0 @KLCityFootball #LigaSuper2022 pic.twitter.com/YljJ9QqliH
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 15, 2022
Pemain itu pada musim ini boleh dikatakan sedang menikmati saat terbaik beliau selaku pemain bola sepak profesional bersama kelab atau negara.
Ini kerana Darren berjaya meletakkan diri beliau sebagai salah seorang penjaring terbanyak Liga Super, setelah meledak 10 gol bersama PJ City.
Kejayaan itu berjaya meletakkan Darren sebagai satu-satunya pemain tempatan yang berjaya memintas beberapa lagi pemain import lain seperti penyerang Sri Pahang iaitu Steven Rodriguez, Park Tae-su, ifedayo Olusegun, serta Manuel Hidalgo.
Selain konsisten dalam saingan domestik, Darren juga tidak ketinggalan untuk mencatag nama selaku salah seorang penjaring buat Harimau Malaya di pentas antarabangsa tahun ini.
Selepas beliau terpaksa digugurkan pada tahun lalu dalam saingan Piala AFF di Singapura kerana masalah kecederaan, kali ini Darren tidak melepaskan peluang untuk memahat nama sebagai salah seorang penjaring gol buat Malaysia.
Pemain berusia 31 tahun itu berjaya menjadi antara wira yang membantu Malaysia melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023, selain meledak satu gol ketika mereka menewaskan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Berdasarkan prestasi cemerlang Darren pada musim ini, maka tidan hairan mengapa khidmat beliau diintai pasukan-pasukan lain termasuk Sabah.
Sabah pada musim ini jelas agak terkesan di bahagian serangan mereka, apabila kelibat dua pemain import pasukan tersebut iaitu Neto Pessoa dan Jose Embalo gagal memberi persembahan menyakinkan.
73’ GOL | Darren Lok menyamakan kedudukan buat PJ City!@pjcityfc 1-1 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/7zu3Y1dP0c
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 15, 2022
Selain Darren, seorang lagi pemain yang dikhabarkan bakal menyertai pasukan tersebut ialah penyerang Terengganu iaitu Tchetche Kipre.
Kipre telah pun memberi bayangan akan perpindahan beliau sebelum itu di Instagram dan gandingan kedua pemain ini pastinya sudah berada dalam bayangan penyokong Sabah.