Bagi kanak-kanak 80-an dan 90-an yang meminati bola sepak, menonton Captain Tsubasa adalah aktiviti yang paling ditunggu-tunggu setiap minggu.
Fernando Torres pernah memberitahu akhbar UK, Daily Mail bahawa siri anime Captain Tsubasa adalah punca utama beliau mahu bermain bola sepak. Antara pemain yang turut meminati Captain Tsubasa adalah Lionel Messi, Andres Iniesta dan Alessandro del Piero.
Agak tak menghairankan sebenarnya apabila melihat senarai pemain profesional di luar Asia yang meminati Captain Tsubasa kebanyakannya berasal dari Eropah dan Amerika Selatan.
Ini kerana Captain Tsubasa – atau lebih dikenali sebagai Oliver y Benji apabila dialih bahasa ke Bahasa Sepanyol – sangat popular di Sepanyol dan majoriti negara di Amerika Selatan.
Oliver y Benji adalah nama yang merujuk kepada nama Tsubasa Ozora (yang ditukar kepada Oliver) dan nama Genzo Wakabayashi (Benji), musuh Benji tetapi bertukar menjadi sahabat baik.
Di Malaysia, siri komik Captain Tsubasa ditukar nama kepada Jaguh Bola Sepak.
Selain Jaguh Bola Sepak, kita juga turut ada siri Johan Bola Sepak (komik), Kickers (TV) dan Rajawali FC (dalam majalah Ana Muslim).
Asal-usul Captain Tsubasa
Bagi anda yang tidak berapa mengenali Captain Tsubasa, ia merupakan siri komik dan anime yang mengisahkan tentang Tsubasa Ozora, budak 11 tahun yang fanatik dan sangat berbakat bermain bola sepak.
Tsubasa bermula dengan mewakili pasukan bola sepak sekolahnya sebelum membawa Jepun menjuarai Piala Dunia Bawah-17.
Kemenangan Tsubasa dalam Piala Dunia Bawah-17 membawa beliau bermain untuk Sao Paulo di liga Brazil. Dari Brazil beliau kemudiannya berpindah ke FC Barcelona (yang pada ketika itu dilatih oleh Louis van Gaal).
Dalam siri tersebut, watak-watak lain yang pernah menjadi rakan sepasukan dan lawan Tsubasa juga mendapat tawaran bermain di Eropah. Ada yang bermain di Inter Milan, Juventus, Hamburg SV dan Real Madrid.
Dalam siri ini juga, setiap karakter mempamerkan skil dan gerakan yang menjangkaui logik akal (tetapi logik mengikut imaginasi kanak-kanak) seperti yang cuba dilakukan oleh pemain-pemain J1 League di bawah:
Perkembangan karakter
Seperti siri komik dan anime bagus yang lain, semua karakter dalam Captain Tsubasa mempunyai perkembangan plot yang menarik.
Siapa boleh lupa detik apabila Tsubasa diturunkan ke skuad Barcelona B oleh Louis van Gaal apabila Tsubasa gagal serasi dengan Rivaldo?
Siapa boleh lupa detik apabila Shingo Aoi ditipu di Itali sehingga terpaksa bekerja sebagai penggilap kasut di tepi jalan, sebelum dapat bermain untuk Internazionale?
Malah salah seorang penulis kami masih ingat nama karakter, posisi, nombor jersi setiap anggota pasukan Jepun yang menjadi juara Piala Dunia Bawah-20:
Impak Captain Tsubasa
Artis terkenal, Pablo Picasso pernah dipetik berkata:
“Art is the lie that enables us to realize the truth.”
Skil dan gerakan istimewa dalam Captain Tsubasa mungkin hanyalah ‘olok-olok’ saja apabila kita menungkat dewasa.
Tetapi semasa kecil, kita menganggap ianya tak mustahil.
‘Penipuan’ skil dan gerakan istimewa Captain Tsubasa memberi Fernando Torres, Lionel Messi, Andres Iniesta dan Alessandro del Piero kepercayaan yang mereka juga boleh melakukan sesuatu yang istimewa – seperti Tsubasa.
Untuk menjadi pemain istimewa, mereka tidak memerlukan skil dan gerakan mustahil Captain Tsubasa. Sebaliknya mereka memerlukan kepercayaan – sesuatu yang mereka perolehi selepas menonton siri anime Captain Tsubasa.