Ya, anda tak tersalah baca.
Menurut survey yang dijalankan oleh FourFourTwo Malaysia/Singapore kepada 100 pemain-pemain tempatan dari Liga Super, Liga Perdana dan Piala FAM, 50% pemain tempatan (50 pemain) bersetuju jurulatih asing lebih bagus berbanding jurulatih tempatan.
43 pemain menjawab ‘tiada komen’. Manakala hanya 7 pemain yang berpendapat jurulatih tempatan lebih bagus daripada jurulatih asing.
Survey FourFourTwo Malaysia/Singapore
Selama 4 bulan bermula dari Disember 2015 hingga Mac 2016, FourFourTwo Malaysia/Singapore telah menjalankan sebuah bancian (survey) terhadap 100 pemain tempatan dari Liga Super, Liga Perdana dan Piala FAM untuk bertanya 20 soalan berkenaan isu-isu bola sepak Malaysia.
Survey ini dijawab oleh:
- 65 pemain Liga Super
- 25 pemain Liga Perdana dan
- 10 pemain Piala FAM.
Mereka terdiri daripada pemain muda, pemain kacukan Malaysia dan pemain skuad kebangsaan. Tiada pemain import yang terlibat dalam survey ini.
Semua pemain yang terlibat telah menyertai survey ini secara sukarela. Identiti mereka pula tidak diketahui (anonymous).
Terima kasih kepada FourFourTwo Malaysia/Singapore, Semuanya BOLA memperolehi pendedahan eksklusif 4 daripada 20 soalan survey mereka.
Kami sendiri memilih 4 soalan ini kerana merasakan ia berkait rapat dengan isu bola sepak yang kami perjuangkan.
Soalan 1: Jurulatih asing lebih baik berbanding jurulatih tempatan?
Seperti yang kami dedahkan di atas, hanya 7 pemain tempatan membantah jurulatih asing lebih baik berbanding jurulatih tempatan.
Sejumlah 50 pemain menjawab ‘setuju’ dan ‘sangat setuju’. 43 pemain lagi berdiri di atas pagar dan menjawab ‘tiada komen’.
Seorang pemain Liga Super memberitahu:
“Saya rasa lebih yakin bermain di bawah jurulatih asing.”
Seorang pemain Liga Perdana pula berpendapat jurulatih asing perlu membuktikan rekod kejurulatihannya dahulu sebelum memperolehi rasa hormatnya:
“Jika mereka (jurulatih asing) datang ke sini, mereka mesti membuktikan kebolehan mereka dengan rekod yang baik. Kalau tak, mereka sama saja macam jurulatih tempatan kita.”
Soalan 2: Saya gembira walaupun saya tak dapat bermain di luar negara. Setuju atau tidak?
Semasa lawatan kami ke Jepun, kami bertanya kepada pegawai J League: mengapa tiada kelab J League yang mahu mengambil pemain Malaysia?
Jawapan salah seorang pegawai mereka adalah:
“Kami memang mahu bawa pemain Malaysia ke J League, terutamanya ke J2 League (divisyen ke-2). Tetapi gaji pemain Malaysia terlalu mahal.”
Jika anda berada di tempat pemain Malaysia, mengapa perlu berhijrah? Gaji bermain di Malaysia saja sudah lumayan. Liga pula meriah. Anda pula tak perlu bermula dari kosong kerana semua jurulatih di Malaysia kenal anda.
Maka kami tak hairan apabila survey FourFourTwo Malaysia/Singapore mendedahkan hanya 33 pemain mengaku tidak gembira jika mereka tak dapat peluang bermain di luar negara.
“Saya pernah dapat tawaran pergi ke kelab luar negara, tapi kelab tak benarkan saya pergi,” menurut seorang pemain Liga Super.
Seorang lagi pemain Liga Super berkata:
“Kalau saya bersara tanpa dapat main di luar negara walaupun hanya sekali, itu akan mengecewakan saya.”
38 pemain lagi berpendapat mereka gembira walaupun tidak mendapat peluang bermain di luar negara. Manakala 29 lagi menjawab ‘tiada komen’.
Seorang pemain Liga Super berpendapat bermain di luar negara hanya akan membuatkannya rindu kepada keluarga:
“Saya rasa saya tak boleh berjauhan dengan isteri dan anak-anak saya.”
Seorang lagi pemain Liga Super berpendapat bermain di Malaysia lebih bagus berbanding di luar negara:
“Saya pernah bermain di luar negara sebelum ini, dan saya boleh cakap ‘the grass is not always greener on the other side’.”
Soalan 3: Saya terasa hati bila penyokong maki saya. Setuju atau tidak?
Kefanatikan peminat bola sepak Malaysia dan ‘kegarangan’ mereka di media sosial apabila pasukan kalah, bukan satu rahsia lagi. Cacian dan makian penyokong sama ada di stadium atau media sosial ada kalanya melampau dan boleh mengguris hati pemain.
Bagaimanapun menurut survey ini, hanya 24 pemain mengaku mereka terasa hati apabila penyokong memaki mereka.
“Saya boleh terima kalau makian itu datang dari penyokong pasukan lawan. Tetapi tidak jika ia datang dari penyokong kami sendiri,” menurut seorang pemain Liga Super.
Seorang pemain Liga Super mahu penyokong yang memaki berada di tempatnya:
“Kalaulah saya dapat maki balik penyokong tersebut selama 90 minit. Barulah dia tahu apa perasaan saya.”
Seorang lagi pemain Liga Super mahu penyokong lebih bertimbang-rasa:
“Kadang-kadang mereka lupa, kami pun manusia biasa juga.”
43 pemain berpendapat mereka tidak terasa hati apabila diejek penyokong. 33 lagi menjawab ‘tiada komen’.
“Ejekan mereka beri saya motivasi untuk bermain dengan lebih bagus lagi,” menurut seorang pemain Liga Super.
Soalan 4: Ultras baik untuk bola sepak. Setuju atau tidak?
Bagi kami, ultras bukan penyokong biasa. Bagi kami, mereka adalah pemain ke-12 di padang.
Kalah atau menang, gol atau bolos, home atau away match – mereka takkan berhenti bersorak untuk pasukan. Merekalah penyumbang utama kemeriahan bola sepak tempatan.
Ternyata pemain tempatan juga bersetuju dengan pendapat ini. 67 pemain bersetuju gerakan ultras bagus untuk bola sepak Malaysia.
“Suka atau tak, kita kena akui mereka (ultras) membuatkan bola sepak lebih menarik dan mengujakan,” menurut seorang pemain Liga Perdana.
Seorang pemain Liga Super pula mengaku ultras sebenarnya baik dan mesra jika mengenali mereka:
“Saya dah pernah jumpa beberapa ultras pasukan saya di luar padang bola beberapa kali. Kebanyakkan daripada mereka sebenarnya baik dan mesra.”
Hanya 9 pemain berpendapat sebaliknya.
“Kadang-kala, mereka beraksi seperti hooligans,” menurut kata seorang pemain Liga Super.
Pendapat ini disokong oleh seorang lagi pemain Liga Super:
“Kefanatikan mereka boleh menjadi sangat bahaya.”
24 pemain yang lain menjawab ‘tiada komen’.
Kesimpulan
Perlu diingat. Kami baru hanya kupas 4 soalan survey FourFourTwo Malaysia/Singapore.
Ada 16 lagi soalan survey ‘panas’ yang hanya boleh diketahui jika anda mendapatkan naskhah majalah FourFourTwo isu Mei 2016.