Tidak mustahil jika negara seperti Indonesia mampu menjadi tuan rumah Piala Dunia satu hari nanti.
Begitulah pendapat dari calon wakil Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin yang percaya negara republik tersebut mampu membida hak sebagai tuan rumah acara paling berprestij bola sepak di dunia itu.
Menerusi BolaNet, Ma’ruf Amin menyuarakan keyakinannya itu berdasarkan rekod cemerlang Indonesia dalam penganjuran Temasya Sukan Asia ke-18 pada tahun lalu.
Tidak mustahil
Perkara itu diutarakan beliau ketika menerima kunjungan sejumlah pewakilan penyokong bola sepak Indonesia di kediamanannya di Jakarta, Ahad lalu.
“Kita (Indonesia) mesti yakin. Mengadakan Piala Dunia bukan sesuatu hal yang mustahil bagi Indonesia.”
https://t.co/kiKA92ADUl – Ma'ruf Amin: Indonesia Disebut Berpeluang Selenggarakan Piala Dunia
📷: @liputan6dotcom pic.twitter.com/lR4jG8buPF
— Bola (@Bolanet) January 7, 2019
“Ini telah dibuktikan dengan kejayaan negara menganjurkan Sukan Asia 2018.”
“Pembangunan infrastruktur yang telah dilaksanakan oleh kerajaan pastinya merupakan modal bagi pelaksanaan acara-acara seperti Piala Dunia,” katanya.
Tiada samseng bola sepak
Namun, Ma’ruf mengingatkan kepada semua pihak jika mahukan kejohanan Piala Dunia berlangsung di Indonesia, terdapat beberapa syarat utama yang harus dipenuhi.
Salah satunya adalah memastikan tiada lagi keganasan dan samseng bola sepak di Indonesia.
Mengulas mengenai kes-kes pergaduhan dan kematian yang berlaku melibatkan samseng bola sepak di negara itu sebelum ini, Ma’ruf berkata, “Untuk sampai ke tahap itu(Piala Dunia), tentu sahaja bola sepak kita mesti sihat(bersih).”
“Tiada mafia(samseng) seperti hari ini. Sekiranya ia sihat, pencapaian pasukan kebangsaan kita juga akan meningkat.”
“Peraturan bola sepak adalah penting. Perlu ada peningkatan. Termasuk juga untuk penyokong. Bagaimana penyokong akan merasa selesa dan selamat ketika menonton bola sepak jika tiada peraturan yang sah.”
“Walau bagaimanapun, perlu diingat, jika sudah dibuat, sudah tentu semua pihak harus menghormati peraturan itu sendiri, termasuk misalnya hukuman bagi pesalah,” jelas Ma’ruf.
Pada Julai 2017, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Joko Driyono dilaporkan mengetuai konsortium negara Asia Tenggara ke majlis Konfederasi Bola Sepak Asia (AFF) di Vietnam dalam usaha besar membida bagi menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034.
Berdasarkan faktor geografi dan infrastruktur, hanya dua atau tiga daripada 10 negara ASEAN akan memiliki peluang menjadi tuan rumah perlawanan pada Piala Dunia 2034.