Calon Pembantu Tan Cheng Hoe: Seperti Lagu Siti Nurhaliza, Biarlah Rahsia

Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe masih belum memberi bayangan calon pembantu yang akan diserapkan dalam barisan kejurulatihannya setelah diberikan mandat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kelmarin.

Dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-3, Tunku Ismail berkata, FAM telah memberi kebebasan sepenuhnya kepada Cheng Hoe untuk mengisi kekosongan jawatan pembantu jurulatih dan staf kejurulatihannya sendiri.

Bercakap kepada Sinar Harian, Cheng Hoe menyifatkan masih terlalu awal untuk mendedahkan mengenai calon berkenaan dan memerlukan sedikit masa.

“Buat masa ini tak ada nama lagi yang boleh saya dedahkan dan kalau boleh saya tak nak komen dahulu sebab masih terlalu awal.

“Dalam sehari dua ini saya akan adakan perjumpaan dengan Setiausaha Agung FAM, mungkin selepas itu baru kita boleh tengok macam mana,” katanya.

Bekas pengendali Kedah itu menjelaskan antara beberapa kriteria calon pembantu yang diingininya ialah mestilah memahami bola sepak Malaysia.

“Saya tak kisah sama ada pembantu saya itu dari Malaysia atau luar negara.

“Tetapi saya mahukan dia memahami landskap bola sepak Malaysia dan boleh bekerjasama dengan saya.

“Yang paling penting, pembantu itu juga harus mempunyai kebolehan dalam melakukan tugas scouting (pemilihan pemain) dengan baik,” katanya.

Tan Cheng Hoe menjadi pembantu kepada Nelo Vingada ketika mengendalikan pasukan kebangsaan.

Sementara itu, bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berharap tidak ada ‘tangan ghaib’ mengganggu tugas Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya demi mengembalikan martabat bola sepak negara.

Sambil menyambut baik kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi jaminan akan memberi kebebasan penuh kepada Cheng Hoe, Azraai berkata ia memang sesuatu yang wajar.

“Ia kenyataan yang positif daripada Tunku Presiden serta sebaik-baik jaminan kerana memang sewajarnya Cheng Hoe diberi kebebasan membentuk pasukan mengikut acuannya.

“Malah, inilah (kebebasan) yang sangat diperlukan oleh setiap jurulatih apabila dilantik ke jawatan berkenaan. Keyakinan serta kepercayaan penuh perlu diletak di bahunya.

“Ini kerana, pada akhirnya, apa pun hasil yang dicapai kelak, sama ada berjaya atau gagal, orang yang bertanggungjawab adalah jurulatih.

“Adalah tidak adil seseorang jurulatih yang menerima hukuman bila pasukan gagal sedangkan dia tidak diberi kebebasan mencorakkan pasukan seperti diinginkan.

“Saya berharap, dengan kenyataan Tunku Presiden itu, tidak akan ada ‘tangan ghaib’ yang mengganggu kerja Cheng Hoe. Kalau tidak, lantik sesiapapun, nasib bola sepak kita tidak akan berubah,” katanya kepada Berita Harian.

Nelo Vingada bersama 2 pembantunya telah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin. Foto: Facebook FAM

Azraai juga turut menganggap Cheng Hoe sudah cukup matang untuk membuat penilaian dan memilih sendiri pemain yang bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

“Beliau sudah lama terbabit dengan bola sepak Malaysia, pernah menjadi penolong kepada (Datuk) K Rajagobal dan (Nelo) Vingada untuk skuad kebangsaan, juga sebagai jurulatih Kedah, beliau kenal sangat dengan pemain kita.

“Saya yakin, beliau tahu untuk menilai antara kaca dengan permata. Jadi, tidak wajar untuk saya memberitahu beliau siapa yang perlu diambil dan siapa pula perlu dibuang.

“Soal pemain baru atau lama tidak jadi isu kerana yang penting apakah pemain itu relevan atau tidak dengan perancangan beliau.

“Cuma, jika benar ada pemain yang besar kepala dalam skuad kebangsaan sekarang seperti didakwa oleh Tunku Ismail, inilah pemain yang perlu diketepikan lebih awal oleh Cheng Hoe kerana ia boleh menjadi virus kepada pasukan.

“Pilihlah pemain yang benar-benar bersemangat untuk mewakili negara walaupun dia mungkin bukan seorang bintang kerana status seseorang pemain bukan jaminan untuk kejayaan.

“Saya yakin dengan pengalaman dimiliki Cheng Hoe, beliau adalah pilihan yang tepat. Kita sudah mencuba dengan jurulatih luar (Vingada) tapi gagal, apa salahnya beri peluang kepada orang tempatan,” katanya. – BH

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN