Legenda Brazil, Cafu mengakui bahawa kualiti yang dimiliki bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold mampu menjadikan beliau sebagai pemain terbaik di dunia pada era bola sepak moden ini.
Hal ini kerana pada usia baru mencecah 21 tahun, anak jati kelahiran Liverpool ini sudah menjadi sandaran utama Jurgen Klopp dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau yang mula menembusi skuad utama Liverpool ketika berusia 18 tahun telah memahatkan nama dalam Rekod Dunia Guiness sebagai pemain pertahanan paling banyak mencipta bantuan jaringan pada musim lalu.
Sehubungan dengan itu, Cafu yang merupakan pemenang Piala Dunia 1994 dan 2002 menilai Alexander-Arnold mampu untuk mencapai tahap tertinggi dalam karier bola sepaknya.
”Dia merupakan seorang pemain yang begitu sensasi, dengan bakat yang jarang dimiliki orang lain,” ujar Cafu menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Sekiranya dia terus mempamerkan corak permainan seperti ditampilkannya pada ketika ini, dia akan menjadi sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik di dunia.”
”Dia juga berpotensi untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFA.”
”Keupayaan teknikalnya begitu cemerlang, dia sangat berkualiti. Dia turut mempunyai gaya permainan Brazil. Saya suka melihat cara dia beraksi dan bermain dengan pasukan yang hebat akan membantunya untuk terus meningkat,” tambah Cafu lagi.
Beraksi bersama Liverpool sejak musim 2016/17, Trent Alexander-Arnold telah berjaya menjadi sandaran utama ketika Liverpool muncul pemenang Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 serta mengungguli Piala Dunia Kelab FIFA 2019.