Burger Premium, Buku Hari Perlawanan Antara Inisiatif ‘Meletup’ Dr Daud Bakar Buat Kedah Selain Tiket Keluarga

Burger stadium Syukor Burger Kedah Arena HijauKuning Pas Keluarga

Kedah Darul Aman FC bakal berwajah menarik apabila secara rasmi telah membawa masuk beberapa syarikat anak tempatan seperti Syukor Burger, Arena HijauKuning dan Bendang Wear sebagai rakan rasmi pasukan.

Tentunya ia khabar yang lebih menggembirakan dari kem Kedah untuk musim depan selain kemasukkan pengendali ternama, Nafuzi Zain dan beberapa pemain yang dilihat mampu memberi impak yang positif.

Antara pemain baharu yang makin mendapat tempat di hati penyokong Sang Kenari ketika ini adalah Manuel Hidalgo, Lee Tuck, Manuel Ott dan Willian Lira yang semakin menunjukkan keserasian di antara mereka.

Beberapa aksi persahabatan yang diadakan menunjukkan yang Kedah wajar diletakkan sebagai antara pencabar kejuaraan Liga Super 2023.

Selepas ini mereka dijangka akan mengadakan Jelajah Pramusim di Turkiye bermula pada 6 hingga 14 Februari depan menentang empat pasukan.

Mereka juga dijangkakan membawakan aksi pemanas badan tersebut secara langsung ‘Pay Per View’ yang bakal diumumkan selepas ini.

Kedah seolah-olah mengorak langkah dengan drastik sejak diambil alih oleh pemilik baharu, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tanpa menoleh ke belakang.

Dr Daud dilihat tekun menjenamakan pasukan ke arah yang lebih positif dan dengan langkah terbaru, membawa masuk syarikat-syarikat tempatan ke dalam kem Kedah, ia seperti memberi dimensi baharu buat mereka.

Kerjasama bersama Arena HijauKuning sebagai rakan media dilihat bakal memberikan kelainan kepada para penyokong apabila syarikat tersebut pernah menerbitkan majalah bola sepak Kedah satu ketika dahulu.

Malah mereka masih aktif di media sosial dengan membawakan gambar-gambar eksklusif perlawanan yang dirakamkan secara langsung ketika aksi.

Hasil kerjasama ini juga menyaksikan pasukan bakal menerbitkan buku hari perlawanan yang akan dijual ketika perlawanan melibatkan Sang Kenari.

Antara pasukan di Liga Malaysia yang memiliki buku hari perlawanan ketika ini adalah KL City FC, hasil inisiatif Eksekutif Media dan Komunikasi di KL City, Devinder Singh yang sebelum itu merupakan seorang penulis bebas dan bekas akauntan yang telah diserap masuk ke dalam pasukan.

Buku hari perlawanan sebegini sebenarnya menarik untuk dijadikan koleksi simpanan penyokong selain ia boleh menjadi sumber dana buat pasukan.

Anda ada pengalaman buruk dengan burger stadium? Ia sentiasa menjadi topik hangat oleh pembelinya di stadium dek kerana rasa kecewa.

Penang FC pernah cuba membawakan konsep burger stadium yang eksklusif hasil kerjasama dengan sebuah hotel, namun impaknya negatif apabila harganya dikatakan tidak sepadan dengan apa yang didapati.

Ia sebenarnya berlaku di hampir semua stadium di Malaysia, malah ia membawa hingga ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi skuad negara.

Malah, mungkin di Stadium Darul Aman pun, situasi yang sama dihadapi penyokong Kedah untuk mendapatkan burger yang sepadan dengan harga. Burger dari KFC di tepi stadium tidak boleh dibawa masuk ke stadium.

Lihat sahaja rating oleh laman Twitter Pemain Ke-12 ini terhadap burger stadium yang dibeli ketika mereka menyaksikan aksi Harimau Malaya.

Adakah Syukor Burger akan membawa imej baharu buat burger stadium? Apa pun kita perlu menanti sehingga ia dijual kepada para penyokong nanti.

Berdasarkan gambaran awal yang diperolehi di laman sosial rasmi pasukan, imej yang ditonjolkan Syukor Burger buat Kedah nampaknya menarik.

Diharapkan ia berbaloi untuk dibeli para penyokong selain dapat membaiki imej burger stadium yang sememangnya sudah tidak digemari ramai.

Ini merupakan sebahagian inisiatif Dr Daud dan pihak pengurusan pasukan untuk Kedah mengorak langkah lebih mampan pada musim akan datang.

Malah, pengenalan konsep tiket keluarga yang diperkenalkan juga sangat menarik untuk diperkatakan. Terdapat dua pilihan iaitu Pas Bermusim Keluarga dan Tiket Perlawanan Keluarga yang memberi fokus kepada pembelian tiket untuk penyokong yang membawa ahli keluarga.

Ia membolehkan penyokong membeli dua tiket dewasa dan dua tiket kanak-kanak pada harga yang berbaloi – 30 peratus diskaun daripada harga asal.

Untuk maklumat lanjut, pembaca boleh melihat kepada makluman di laman sosial rasmi pasukan yang menerangkannya dengan lebih terperinci.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN