Union Berlin menikmati antara minggu hebat dalam saingan Bundesliga 2019/20 buat kelab tersebut selepas berjaya menundukkan pendahulu liga, Borussia Monchengladbach 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Alte Fosterei.
Berdepan lawan yang mencatatkan kemenangan berturut-turut pada tiga aksi terakhir [Bundesliga dan Liga Europa] tidak langsung menghadirkan gerun buat skuad bimbingan Urs Fischer tersebut.
Ia dibuktikan apabila Union Berlin membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi pemain kelahiran Nigeria, Anthony Ujah.
Penyerang berusia 29 tahun yang tidak dikawal pertahanan Borussia Monchengladbach dalam kawasan penalti itu dengan mudah menanduk masuk bola hasil umpanan dilakukan Marcus Ingvartsen.
Ingvartsen terlepas peluang untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-22 selepas percubaan voli dari luar kawasan penalti diledakkannya sekadar singgah di tiang gol.
Monchengladbach yang masih memimpin carta Bundesliga turut mencipta beberapa peluang terbaik tetapi ia dinafikan kecemerlangan penjaga gol Union Berlin, Rafal Gikiewicz dan juga ketumpulan penyudah barisan serangan mereka.
Ketika perlawanan memasuki masa tambahan separuh masa kedua, Sebastian Andersson menanduk masuk bola hasil hantaran Julian Ryerson yang pada mulanya membias terkena kaki pertahanan lawan untuk menoktahkan kemenangan 2-0 buat Union Berlin ke atas Borussia Monchengladbach.
Dengan kekalahan tersebut serta dua pesaing utama iaitu Bayern Munich dan RasenBallsport Leipzig yang mencatatkan kemenangan, ia menyaksikan Borussia Monchengladbach hanya berkelebihan satu mata di hadapan kedua-dua kelab tersebut.
Union Berlin pula kini menghuni tangga ke-11 dengan mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, satu keputusan seri dan enam kekalahan selepas mengharungi 12 perlawanan liga.
Kredit foto: Union Berlin