Bundesliga 2019/20: Borussia Dortmund Baham Augsburg 5-1 Dalam Aksi Pertama Liga

Borussia Dortmund memulakan musim baru dengan langkah kanan setelah mencatat kemenangan penting 5-1 ketika menerima kunjungan Augsburg di gelanggang sendiri. Paco Alcacer mencetak dua gol sementara Jadon Sancho, Marco Reus dan pemain baru Julian Brandt masing-masing dengan satu gol.

Skrip kemenangan BVB dalam perlawanan pertama liga ini mirip dengan apa yang mereka lalui pada awal musim lepas di mana mereka juga melepaskan gol seawal minit pertama sebelum bangkit meratah pasukan lawan di Signal Iduna Park. Lawan mereka untuk perlawanan pembukaan musim lepas adalah RB Leipzig manakala malam ini mereka berhadapan dengan Augsburg.

Pemain baru, Nico Schulz, Thorgan Hazard dan Mat Hummels disenaraikan dalam kesebelasan utama sementara Julian Brandt diletakkan di bangku simpanan.

Hanya 31 saat selepas pengadil meniup wisel untuk memulakan perlawanan, Augsburg sudah mendahului 1-0. Mads Pedersen membuat hantaran ke dalam kotak penalti dan disudahkan oleh Florian Neiderlechner yang menewaskan penjaga gol tuan rumah Marwin Hitz untuk gol pembukaan.

Kegirangan pasukan pelawat tidak kekal lama apabila 2 minit kemudian Dortmund menyamakan kedudukan melalui jaringan Paco Alcacer hasil kesilapan penjaga gol, Thomas Koubek. Dortmund menguasai permainan dan memperoleh deretan peluang namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagai mendapat tenaga luar biasa semasa rehat separuh masa, Dortmund mengganas di separuh masa kedua dengan menjaringkan empat lagi gol.

Bermula dengan satu lagi kesilapan penjaga gol Augsburg yang gagal menepis hantaran lintang Axel Witsel, ianya disudahkan oleh pemain muda England, Jadon Sancho pada minit ke-51.

Lima minit kemudian, Koubek sekali lagi menempah maut dengan membuat satu lagi kesilapan apabila beliau keluar menumbuk bola hantaran lintang Sancho dan malangnya bola itu jatuh tepat ke arah Alcacer.

Alcacer sekadar melakukan sedikit tolakan menghantar bola kepada kapten, Marco Reus yang terus merembat ke arah gawang lawan yang sudah tiada penjaga gol.

Alcacer sekali lagi mencerikan penyokong tuan rumah dengan menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-60 menjadikan kedudukan 4-1.

Julian Brandt yang masuk menggantikan Thorgan Hazard membuka akaun di Dortmund dengan jaringan kelima dan terakhir pasukannya pada minit ke-82 bagi menambah luka pasukan pelawat.

Pasukan tuan rumah jelas menguasai keseluruhan perlawanan dengan 72% penguasaan bola sekalipun dikejutkan dengan gol awal Augsburg. Kecemerlangan dua pemain tengah Dortmund, Witsel dan Julian Weigl membuatkan pasukan pelawat buntu dalam mengatur gerakan dan sekadar fokus untuk membuat serangan balas pantas.

Kredit foto: Borussia Dortmund

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN