Quantcast

LIGA MALAYSIA TEMURAMAH

Piala Malaysia 2019: Lebih Fokus Musim Depan, Ismail Zakaria Sedar Kemampuan PJ City

Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria ketika dihubungi Semuanya BOLA menjelaskan Piala Malaysia 2019 adalah pentas untuk barisan pemainnya memikatnya dan membuktikan kemampuan masing-masing untuk disenaraikan pada musim hadapan.

Oleh itu, perlawanan menentang PJ City FC pada malam ini adalah satu perlawanan biasa buat pemain-pemain The Lion Troops dalam mencari pengalaman bersaing bersama-sama pasukan Liga Super.

Menegaskan yang UiTM FC tidak mengejar apa-apa dalam saingan Piala Malaysia, pengendali berpengalaman ini juga menjelaskan yang tidak menekan para pemainnya untuk memburu tiga mata dalam setiap perlawanan di saingan Piala Malaysia 2019.

Kayu pengukur untuk musim 2020

“Kita tidak menekan kepada pemain-pemain UiTM FC untuk menang setiap perlawanan kerana kita tahu kedudukan dan kebolehan pemain-pemain kita yang banyak perlu kita baiki.

“Matlamat kita dalam saingan Piala Malaysia ini adalah untuk pemain-pemain kita mencari pengalaman bermain dengan pasukan-pasukan Liga Super kerana mereka bakal menghadapi cabaran besar tahun depan untuk meletakkan pasukan ke kedudukan dua teratas bagi layak ke Liga Super 2021,” ujarnya.

Corbin Ong JDT UiTM FC

FOTO: UiTM FC

Oleh itu, bagi Ismail Zakaria, para pemain harus menggunakan sebaiknya semua aksi Piala Malaysia bagi menimba sebanyak mungkin pengalaman sambil menegaskan ia juga adalah kayu pengukur untuk mereka untuk kekal bersama pasukan.

“Sebab kita akan cari pemain lain untuk menggantikan mereka. Musim depan, sasaran kita besar, kita mahu ke Liga Super 2021. Jadi, kita perlu buat perubahan besar-besaran,” tambahnya lagi.

Ada pemain AMD akan bersama UiTM FC

Semuanya BOLA turut bertanyakan adakah perubahan besar-besaran tersebut bermaksud tiada lagi pelajar-pelajar UiTM akan membarisi skuad ini dan ini pantas dinafikan olehnya.

“Sudah tentu mereka (pemain) masih dikalangan pelajar UiTM sendiri. Di skuad Piala Presiden Selangor, kita ada 6, 7 orang yang merupakan pelajar UiTM. Tahun depan, umur mereka sudah lebih 21 tahun dan akan kembali semula sebagai pemain UiTM FC, belum dikira yang akan mendaftar sebagai pelajar baharu UiTM.

“Begitu juga pemain-pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang akan masuk ke skuad Piala Presiden UiTM FC. Ada dalam 18 orang akan dibawa masuk,” terangnya lagi.

Luqman Hakim Malaysia B-18 AFF B-18

FOTO: NFDP

Produk-produk AMD telah mencuri tumpuan beberapa minggu ini dengan skuad B-15 negara menjuarai Piala AFF B-15 dan kejayaan skuad B-18 negara melangkah ke pentas final Piala AFF B-18 malam tadi menewaskan Indonesia 4-3 selepas tambahan masa.

“Kita hendak pemain yang berbakat dalam bola sepak untuk sambung belajar di UiTM,” jelasnya mengenai perancangan untuk menyerap pemain-pemain AMD ke UiTM sebagai serampang dua mata, bermain sambil menyambung pengajian ke universiti.

Sudah ada bayangan kekuatan PJ City

Bercakap mengenai status pemainnya menjelang aksi menentang PJ City, Ismail Zakaria memaklumkan yang UiTM FC menghadapi masalah kecederaan beberapa pemain utama ketika ini.

“Sekarang, dua pemain import kita cedera. Park Yong-joon tidak akan beraksi lagi sepanjang saingan Piala Malaysia, total lost. Maycon pula mengalami kecederaan otot yang mungkin dua perlawanan terakhir baru akan kembali beraksi,” jelasnya.

zarko korac, uitm fc

FOTO: UiTM FC

“Untuk import, kita tinggal dua orang sahaja iaitu pertahanan (Bernard Agele) dan penyerang (Zarco Korac). Tetapi saya gembira melihat kemampuan dan persaingan pemain-pemain tempatan kita kerana fokus saya untuk melihat mereka bermain.

“Jadi pemain-pemain import tahun depan juga akan berubah. Kita akan cari yang lebih baik untuk bantu kita dengan misi kita,” ulasnya sambil mengatakan sudah miliki bayangan kekuatan PJ City kerana pernah berdepan di pusingan kedua Piala FA 2019.

Musim lalu, UiTM FC dua kali bertemu PJ City dalam saingan Liga Premier dan tewas dalam kedua-dua pertembungan tersebut. Dan dengan pengalaman bertemu PJ City di Piala FA sebelum ini, Ismail Zakaria sudah mengetahui bagaimana untuk berdepan mereka.

Jika The Lion Troops berjaya mengatasi PJ City, persaingan merebut tiket buat mereka akan kembali terbuka dengan ketika ini UiTM FC masih gagal meraih sebarang mata selepas tewas dua perlawanan.

Kredit Featured Image: UiTM FC