Quantcast

BERITA

Bulan Puasa Penyebab Kualiti Permainan Liga Malaysia Merosot?

Ramadhan adalah bulan yang ke-9 di dalam kalendar Islam. Ia adalah bulan dimana penganut beragama Islam akan menjalani ibadah puasa iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

Namun, saingan Liga Malaysia tetap diteruskan pada bulan Ramadhan dan sepak mula diubah daripada pukul 9.00 malam kepada 10.00 malam untuk memberi peluang kepada para pemain dan jurulatih membuka puasa.

Ini kerana beraksi mulai jam 10 malam bukan satu perkara kebiasaan untuk pemain bola sepak. Mereka harus mengubah jadual pemakanan dan penerimaan tubuh badan termasuk waktu tidur selepas itu.

Jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria sudah mula membayangkan kualiti permainan pemain bakal merosot dan lesu pada perlawanan di bulan Ramadhan kerana dikhuatiri tidak mendapat rehat yang secukupnya.

“Pada pandangan saya sebenarnya tidak berapa sesuai beraksi pada Ramadan kerana majoriti pemain bola sepak adalah orang Melayu dan sudah tentu mereka berpuasa pada siang hari.

“Apabila berpuasa sepanjang hari, sudah tentu pemulihan semula pemain lambat dan badan menjadi lesu, saya sudah boleh agak kualiti permainan juga akan menurun dan tegang sikitlah. Itu yang akan berlaku.

“Bagi pasukan UiTM, selain bergelar pemain, mereka juga penuntut universiti dan tentunya banyak yang perlu diuruskan mereka terutama rehat perlu cukup, makan selepas berbuka dan selepas latihan juga perlu dijaga.

“Tambah merisaukan saya, sudah pasti pada waktu siang mereka akan menghadiri kelas, malam pula latihan selain perlawanan, ini yang tambah menakutan saya daripada segi persediaan yang rapi perlu diuruskan mereka.

“Namun, jadual liga sudah ditetapkan, jadi terpaksa ikut dan hadapi, apa nak buat. Penganjur pun sudah mengarahkan kami bermain dan akan cuba lakukan yang terbaik bagi memastikan aksi pemain tetap konsisten,” ujar Ismail dalam Harian Metro

FOTO: UiTM FC

Tiada masalah beraksi dalam bulan puasa

Sementara itu, jurulatih kecergasan pasukan tempatan, Iskandar Salleh berpendapat jika setiap pasukan Liga Malaysia mengamalkan sistem latihan yang teratur, ia tidak akan menjejaskan prestasi pemain dalam bulan puasa.

“Sepatutnya tidak menjejaskan prestasi pemain. Ini kerana dengan sistem latihan yang teratur serta pemakanan yang sesuai, pemain mampu beraksi seperti biasa di sebelah petang mahu pun malam,” katanya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!