Johor Darul Ta’zim (JDT) berhasil mara ke separuh akhir Piala FA 2022 selepas membenam Melaka United 2-1 di pusingan suku akhir di Stadium Hang Jebat dengan kelibat penyerang, Ifedayo Olusegun menjadi tumpuan.
Gol JDT dijaringkan oleh Hazwan Bakri dan Bergson da Silva yang kembali daripada kecederaan, sementara gol Melaka United dihasilkan Sony Norde. Melaka United meledak gol enam minit sebelum aksi berakhir seolah-olah menandakan perlawanan bakal berlanjutan ke masa tambahan tetapi ledakan Bergson tidak membenarkannya.
Minit ke-93, seminit sebelum masa kecederaan berakhir, Bergson muncul sebagai penyelamat JDT seterusnya menamatkan sisa kebangkitan tidak panjang skuad Hang Tuah. Ini adalah tiga perkara berkaitan perlawanan.
📹 HIGHLIGHTS: @MelakaUnitedFC 1-2 @OfficialJohor
Jaringan Bergson da Silva pada masa kecederaan melayakkan JDT ke separuh akhir Piala FA.
Hazwan Bakri meletakkan JDT di depan namun Sony Norde menyamakan kedudukan untuk Melaka United sebelum gol lewat Bergson.#PialaFA2022 pic.twitter.com/c1AcZFvKz0
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 23, 2022
Ini bukti Ifedayo bukan pinjaman JDT
Selepas isu Ifedayo dikatakan pemain pinjaman JDT sebelum ini, kelibatnya dalam kesebelasan utama Melaka United malam tadi menjawab kepada segalanya. Jika benar beliau adalah pemain pinjaman, tentunya seperti perlawanan Liga Super sebelum ini, beliau akan tersisih. Tetapi, beliau kembali dalam skuad utama malam tadi.
Semua mata tertumpu kepada namanya yang berada dalam kesebelasan utama di saat ramai menjangkakan beliau akan dikhabarkan mengalami kecederaan. Jadi, terang lagi bersuluh, Ifedayo memang cedera tempohari.
Ia bermula dengan kesalahan portal arus perdana yang mengatakan pengendali sementara Melaka United, Asri Ninggal memaklumkan penyerang tersebut tidak diturunkan berdepan JDT disebabkan berstatus pinjaman.
Walaubagaimanapun, kehadirannya dalam pasukan gagal membantu pasukan untuk menundukkan JDT. Malah, jika diamati, beliau adalah pemain yang ditugaskan mengawal Bergson saat gol kemenangan lawan tercipta.
90+3' GOL | Tandukan Bergson da Silva pada masa kecederaan meletakkan JDT kembali di depan!@MelakaUnitedFC 1-2 @OfficialJohor #PialaFA2022 pic.twitter.com/3LTSdgVAYF
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 23, 2022
Kali terakhir JDT ke separuh akhir – edisi 2016
Waima mereka diketahui memiliki kekuatan yang ampuh, namun dalam saingan Piala FA, ini merupakan kali pertama mereka mara sejauh ke pusingan separuh akhir selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2016, ketika mereka muncul juara pada edisi tersebut selepas berhasil membenam PKNS FC 2-1 di pentas final.
Dua kali langkah mereka tersekat di suku akhir iaitu pada edisi 2017 dan 2018 – kedua-duanya kepada Pahang (kini Sri Pahang). Pada edisi terakhir Piala FA dilangsungkan, mereka hanya beraksi sehingga pusingan ketiga.
Ini menjadi sesuatu yang amat bermakna buat pasukan dan tentunya penyokong. Kehadiran ke separuh akhir menandakan mereka serius untuk menjulang kejuaraan yang tertunda dua edisi sebelum ini akibat Covid-19.
Halangan buat JDT selepas ini adalah Penang FC yang berjaya menundukkan Sri Pahang 5-2, malam tadi.
Asri Ninggal: “Tanpa Bergson, JDT is nothing”
Di sidang media sejurus perlawanan, pengendali sementara Melaka United, Asri Ninggal dilihat meninggalkan kata-kata yang pedas buat JDT selepas melihat pasukannya kecundang pada saat-saat akhir perlawanan.
“Apabila bertemu JDT, kita tidak boleh memberi mereka kelebihan ‘set-pieces’ terutama sepakan percuma dihadapan gawang atau sepakan sisi. Hal ini kerana mereka mempunyai penyerang yang handal seperti Bergson da Silva dan kalau tiada Bergson malam ini, JDT ‘is nothing’.”
Beliau beranggapan yang skuad Hang Tuah kurang bernasib baik melepaskan jaringan pada saat akhir, beliau memberikan pujian buat barisan pemainnya yang memberi tentangan sengit kepada pasukan seperti JDT.
“Walaupun menentang pasukan besar seperti JDT bukan mudah tetapi para pemain telah menunjukkan mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan dan saya perlu beri kredit kepada mereka kerana telah bermain sehabis baik dan kami kurang bernasib baik melepaskan gol terakhir itu.”