Piala FA: Jurulatih Kecergasan JDT Sifatkan Aksi Bergson Sebagai Berkelas Dunia

Walaupun terlepas dalam beberapa perlawanan sebelum itu kerana mengalami kecederaan, nyata ia tidak melemahkan diri penyerang import Johor Darul Ta’zim iaitu Bergson da Silva.

Tonggak dari Brazil itu mempamerkan aksi yang cukup cemerlang semalam setelah dimasukkan selaku pemain simpanan serta mencatat gol pada minit akhir bagi membantu JDT melangkah ke separuh akhir.

Menurut Jorge Alvarez selaku Jurulatih Kecergasan JDT, dia memuji sikap penyerang itu yang disifatkan sebagai berkelas dunia selepas penampilan hebatnya sebagai pemain gantian, semalam.

Tambah beliau, kemasukan penyerang bertubuh tegap itu berjaya memberi perubahan positif dalam sistem serangan JDT, sekali gus tampil lebih agresif untuk mencatat gol.

“Bergson pemain yang berkelas tinggi. Selepas pulih dari kecederaan dia menunjukkan persembahan yang amat baik dan apabila diturunkan dia mampu mencipta jaringan kemenangan pada malam ini.

“Tahniah kepada semua pemain atas peranan mereka sepanjang perlawanan dengan menunjukkan ‘winning mentality’ sehingga saat terakhir permainan,” katanya menerusi Arena Metro.

Dalam masa sama, Alvarez juga menyatakan kemenangan 2-1 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput semalam ketika mengatasi Melaka United disebabkan para pemain menerapkan mentaliti kemenangan.

Jelas pengendali tersebut, mentaliti diterapkan itu wajar dipuji kerana para pemain berusaha dengan sehabis baik sejak awal perlawanan untuk memburu jaringan bagi mengesahkan tempat di separuh akhir kejohanan tersebut.

Beliau juga jelas gembira dengan aksi permainan ditampilkan para pemain sepanjang perlawanan dengan menampilkan banyak siri serangan dibuat ke kubu tuan rumah.

Selain itu, jurulatih Melaka United iaitu Asri Ninggal berpendapat para pemain kendaliannya juga wajar dipuji kerana tidak memberi laluan mudah buat JDT untuk menghasilkan jaringan meskipun diasak bertali arus.

Tambah Asri lagi, pasukan kendaliannya cuma tidak bernasib baik apabila bolos pada minit akhir permainan meskipun sebelum itu mereka berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan tonggak, Sony Norde menerusi sepakan penalti.

Pada perlawanan semalam menyaksikan Melaka United bertahan dengan cukup disiplin untuk menafikan setiap percubaan atau bentuk serangan pelawat yang cukup berbahaya.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply