Datuk Seri Zolkples Embong berkata bukan Khalid Jamlus seorang sahaja yang melalui kesukaran, tetapi terdapat sekelompok bekas atlet yang melalui masalah yang sama.
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu menyarankan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) proaktif dalam mengambil tahu kebajikan bekas pemain bola sepak dan atlet terutama mereka yang sudah bersara daripada bidang sukan.
KBS perlu berhati-hati
Selain itu, Zolkples juga meminta agar Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal supaya lebih berhati-hati kerana selepas bantuan kepada bekas penyerang skuad kebangsaan itu tular, pasti ramai akan meminta bantuan yang sama.
“Apapun, saya nasihatkan kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan supaya lebih berhati-hati kerana selepas ini, saya pasti ramai bekas pemain bola sepak dan bekas atlet dari sukan yang lain akan beratur untuk meminta bantuan di pejabatnya.
“Ramai lagi bekas pemain yang mengalami masalah sama seperti Khalid tetapi sayangnya, tidak mendapat perhatian sewajarnya,” jelasnya kepada Berita Harian dan menegaskan ramai diantara mereka gagal merancang kerana ditimpa kecederaan.
“Kita perlu beri perhatian khususnya kepada mereka yang tidak sempat merancang untuk masa depan kerana berdepan kecederaan yang tidak dijangka,” tambahnya.
Lelong Kasut Emas musim 2002
Disamping itu, Zolkples memahami yang mungkin atas faktor sekukaran yang dilalui lagenda Perak itu telah memaksanya untuk menjual koleksi peribadinya. Baru-baru ini, Khalid Jamlus telah melelong trofi Kasut Emas yang diraihnya 18 tahun lalu.
Khalid Jamlus telah melelong Kasut Emas tersebut di Live Facebooknya selepas memaklumkan yang beliau sudah menganggur lebih kurang tiga tahun dan ini mungkin adalah jalan terakhirnya untuk meneruskan hidup kerana tiada bantuan diterimanya.
Melalui bidaan secara Live tersebut, seorang pengguna Facebook telah berjaya membuat bidaan tertinggi iaitu RM10,500 namun, Khalid Jamlus memaklumkan yang ianya masih belum ditentukan lagi kerana masih ada tawaran lain yang lebih baik.
“Hala tuju kasut ini masih dibincangkan dan setakat ini, sudah ada bidaan dari Sabah dan Pantai Timur,” ujarnya yang memenangi anugerah tersebut selepas merekodkan 17 gol seterusnya membantu Perak menjuarai saingan Liga Perdana 1 pada 2002.
Pesanan Azmeer Yusof
Zolkples turut menitipkan pesanan buat atlet dan pemain-pemain bola sepak agar sentiasa memiliki perancangan untuk hari tua bagi mengelak mereka berdepan masalah sebegini di masa depan, selepas tidak lagi terbabit dalam arena sukan.
Masih ingat pesanan bekas pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof sekitar bulan Mei yang lalu? Intipati pesanan yang hampir sama, meminta agar pemain-pemain yang sedang menikmati gaji besar untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.
Menurut lagi, beliau tiada niat untuk memerli sesiapa apabila bercakap mengenai pengurusan kewangan tetapi ia sekadar berkongsi pengalamannya yang telah melalui detik sukar dalam hidupnya sebelum berjaya untuk bangkit semula selepas itu.
“Dan kita kena akui ramai orang yang mempunyai masalah seperti apa yang saya ceritakan baru-baru ini,” tegas pemain yang kini sudah menamatkan kontrak bersama Kedah untuk memberi fokus kepada kerjaya lain iaitu bidang perniagaannya.
Penutup
Siapalah kita untuk menidakkan kesukaran hidup mereka. Kita tidak berada di dalam ‘kasut’ mereka. Namun, apakah iktibar daripada kes Khalid Jamlus ini? Dan inilah juga yang telah ditekankan oleh Azmeer Yusof dalam beberapa bulan yang lalu.
Dan diharapkan agar KBS dapat memberikan perhatian yang sama rata kepada semua bekas atlet dan juga bekas pemain bola sepak yang mungkin kebajikan mereka tidak terurus sebelum ini. Ini kerana, bukan seorang sahaja ‘Khalid Jamlus’ di luar sana.
KREDIT FEATURED IMAGE: ASTRO ARENA