Kelantan United boleh dianggap sebagai salah satu pasukan paling mencuri tumpuan pada pertengahan musim ini, selepas kejayaan mereka untuk mendapatkan beberapa pemain ternama dalam negara menyertai mereka.
Tampil sebagai salah satu pencabar baharu dalam aksi Liga Super 2023, Kelantan United sebenarnya bermula dengan sangat perlahan serta tampil hambar dalam setiap perlawanan dilalui.
Kelibat pengendali utama mereka ketik itu, Thomas Trucha gagal memberi magis terbaik seperti dilakukan sebelum itu bersama Penang sehingga menyebabkan beliau terpaksa digantikan pada awal musim.
Hadir bersama gandingan bintang muda serta pemain senior, pasukan ini tampil semakin baik dalam setiap perlawanan dilalui namun masih belum cukup begitu ampuh untuk meraih tiga mata dicari.
Daripada 16 perlawanan dilalui, Kelantan United hanya memperoleh satu kemenangan dan mengumpul tujuh mata keseluruhan untuk berada di kedudukan ke-12 serta mengatasi Kuching City dan The Red Warriors (TRW) Kelantan.
Namun pengurusan mereka dilihat peka dengan kelemahan dihadapi tersebut dan terus melakukan rombakan segera untuk memastikan mereka kekal relevan sehingga ke penghujung musim.
Perubahan awal dibuat mereka pastinya dengan melantik ketua jurulatih baharu yang lebih berpengalaman serta sudah pun mempunyai kejayaan di rantau Asia Tenggara iaitu Ailton dos Santos Silva.
Menerusi kejayaan beliau sebelum ini yang membawa Chiangrai United menjuarai Thai League 1 pada musim 2019 menjadikan beliau sebagai sandaran utama kini untuk memastikan Kelantan United mampu tampil positif daripada segi corak permainan.
Seterusnya, perlahan-lahan Kelantan United mula mendapatkan beberapa pemain baharu dengan lebih awal untuk ditandatangani iaitu bekas penyerang import TRW Kelantan, Ismaheel Akinade serta penjaga gol berpengalaman, Shahril Saari.
Selain itu, mereka juga bertindak pantas untuk mendapatkan dua pemain tempatan berprofil tinggi dalam saingan Liga Super daripada Terengganu iaitu Faiz Nasir serta Azarul Nazarith.
Tidak seperti TRW Kelantan yang lebih banyak melepaskan pemain, situasi berbeza buat Kelantan United untuk terus melakukan rekrut baharu bagi memperkukuhkan kelab.
Malah, mereka juga tidak hanya berborak kosong di media sosial serta mencetuskan sebarang kontroversi dengan sebaliknya fokus untuk terus majukan kelab.
Walaupun dilaporkan kelab tersebut masih dibiayai oleh sumber kerajaan, Kelantan United tidak hanya memfokuskan kepada pasukan utama dengan mereka turut memberi perhatian kepada pembangunan akar umbi.
Buktinya dapat dilihat selepas Thomas Trucha kini diberi peranan untuk membangunkan pemain muda dalam saingan Piala MFL serta pelantikan mengejut Rezal Zambery Yahya daripada TRW Kelantan.
Rezal Zambery secara umumnya dilantik Kelantan United pada pertengahan musim ini sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi pasukan selepas menabur bakti sebagai pembantu jurulatih bersama TRW Kelantan.
Menerusi persiapan yang seimbang dibuat pasukan tersebut di segenap aspek dalam usaha untuk memperbaiki kelemahan awal musim, jelas Kelantan United dilihat mempunyai perancangan tersendiri dengan lebih awal untuk saingan tahun hadapan.
Tanpa penyingkiran dibuat musim ini, ramai menyatakan Kelantan United sebenarnya tidak perlu membuat rombakan secara berskala besar di segenap posisi.
Namun, ianya boleh dianggap sebagai perancangan lebih awal dibuat mereka untuk tampil bersedia sebelum saingan musim hadapan berlangsung dan dijangka bakal tampil lebih sengit.
Tatkala TRW Kelantan perlahan-lahan semakin hilang sinar pada musim ini, tampil jiran mereka semakin gah membina tapak untuk terus menjadi salah satu pesaing kecil tahun ini serta akan datang.