Kemelut yang melanda Perak menyaksikan beberapa pemainnya telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan-pasukan lain. Tidak ketinggalan Kenny Pallraj yang sudah disahkan bakal memperkuatkan skuad Kuala Lumpur City untuk baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Turut sama berpindah ke skuad ibu kota itu adalah J. Parthiban yang menyusul selepas pengumuman penyertaan Shahrul Saad dan Guilherme de Paula bersama juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Apa yang pasti keputusan tersebut dibuat demi kelangsungan karier mereka yang mempunyai komitmen serta tanggungjawab untuk menyara keluarga setelah bekas majikan mereka dilaporkan tidak membayar gaji selama tiga bulan.
Welcoming our latest signing, Kenny Pallraj AKA ‘The Steel’ to Kuala Lumpur City! #KLCityFC #PrideofKL #morethanaclub pic.twitter.com/U3cQyUlKzs
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) May 10, 2021
Namun pastinya bukan mudah buat anak kelahiran Buntong ini untuk meninggalkan pasukan yang menjadi tempat permulaan kariernya dan seterusnya menjadi salah seorang pemain penting buat pasukan.
“Sebenarnya kita di Perak ni, bukan sekadar rakan sepasukan tapi dah macam satu keluarga,” ujar Kenny ketika ditemubual dalam rancangan Bola Mamak di Astro Arena.
“Badak [Shahrul Saad], [Amirul] Azhan, Nazirul Naim, Hafizul Hakim, mereka ini saya bukan baru kenal 5, 6 tahun, dari umur 10 tahun saya dah kenal mereka semua.
“Jadi hubungan kami antara pemain dan juga keluarga memang erat. Bila ada yang dah berpecah, keluar, memang rasa sedih sangat.”
Ditanya sama ada akan ada lagi pemain-pemain yang akan menyusul menyertai pasukan lain, beliau menjelaskan ianya terpulang kepada individu itu sendiri.
“Saya boleh katakan semuanya ada menerima tawaran, tetapi semua atas pertimbangan mereka sendiri, sama ada mereka mahu pergi atau tidak, mahu terima atau tidak, adakah memadai dengan apa yang mereka mahu,” katanya lagi.
“Tetapi saya akui mahu keluar dari Perak ini satu keputusan yang berat. Bagi saya memang saya telah membuat satu keputusan yang amat berat dalam hidup saya. Sepanjang karier bola sepak saya, tak pernah lagi terfikir nak keluar dari Perak.
“Saya mula main bola dengan pasukan Piala Presiden, kemudian saya keluar untuk bersama Harimau Muda selama tiga tahun, saya balik ke Perak saya tak keluar ke mana-mana hingga sekarang. Sampai sekarang saya tak percaya yang saya dah buat keputusan ini.”
Pemergian Kenny dan Parthiban sudah dijangka lebih awal lagi selepas kedua-duanya tidak diturunkan dalam aksi menentang Sri Pahang di Stadium Perak tempoh hari.
Kredit Foto: Sinar Harian
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Kenny Pallraj: Pemain Bola Sepak, Pelajar Dan Penternak Berjaya
Jordan Mintah Bagi Signal Kepada Nafuzi Zain, Pandanglah Prestasiku ‘Coach’
Bekas Pemenang Piala Malaysia Jadi Taruhan MNY FC Untuk Saingan Liga M3 2021