‘Bukan Kerana Menyokong’ – Weghorst Dedah Alasan Beliau Menyentuh ‘Anfield Sign’

Wout Weghorst tampil menjelaskan tentang mengapa beliau menyentuh Anfield sign menjelang aksi pertemuan antara Manchester United bertemu Liverpool kemarin.

Manchester United dibelasah teruk oleh Liverpool dalam perlawanan tersebut dengan skuad kendalian Erik ten Hag itu diganyang 7-0 oleh The Reds di Anfield.

Selain dihina dan dikeji, ada seorang pemain Man United yang teruk dihentam oleh penyokong sendiri selepas tamat perlawanan tersebut.

Hal ini kerana bintang berusia 30 tahun itu dilihat menyentuh Anfield sign sebelum sepak mula perlawanan dan rata-rata penyokong Red Devils tak menerima perbuatan bintang Belanda itu.

Media-media juga tak henti-henti berkongsi tentang kisah tersebut dan mendakwa yang Weghorst sebenarnya peminat sejati Liverpool dan turut pernah memasang impian mahu beraksi bersama kelab dari Merseyside itu.

Weghorst sementara itu tampil menjawab segala pertuduhan tersebut dan menganggap media sengaja mahu merosakkan hubungan baik antara beliau dengan para penyokong.

Pemain penyerang itu menegaskan yang beliau melakukan hal tersebut semata-mata kerana mahu memanaskan rakan senegaranya, Virgil Van Dijk.

Wout Weghorst memuat naik status di laman media sosial miliknya untuk menjelaskan tentang mengapa beliau menyentuh papan tanda keramat itu.

Pemain yang dipinjamkan dari Burnley itu juga turut menegaskan yang beliau bersama rakan sepasukannya akan melakukan apa sahaja dalam usaha mereka untuk bangkit dari kekalahan memalukan bertemu Liverpool itu.

Menulis di laman Instagram miliknya, Weghorst menyatakan bahawa:

“Kebiasaannya saya tak peduli dengan topik media, tapi untuk yang ini ia berbaloi kerana penyokong United yang sungguh menakjubkan itu sangat penting untuk saya. Jadi saya cuma mahu menjelaskan tentang video yang sedang bertebaran itu.”

“Dari skuad kebangsaan saya tahu yang Virgil selalu menyentuh sign dan saya mahu halang dia dari menyentuh itu dan cuba untuk panas-panaskan dia sebelum perlawanan.”

“Ketika kanak-kanak saya sentiasa menyokong FC Twente, dan sebagai pemain yang bangga dengan Manchester United, dedikasi saya hanyalah untuk kelab yang menakjubkan ini dan ia tak boleh dipertikaikan.”

“Hari minggu merupakan hari yang sangat teruk untuk kita semua, kita sedang berusaha untuk perbaiki bagi menghadapi minggu hadapan. Kami akan bangkit bersama dan berusaha mencapai sasaran kita pada musim ini.”

Weghorst menyertai Manchester United dari Burnley menerusi perjanjian pinjaman pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini.

Erik ten Hag memerlukan khidmatnya selepas pihak kelab memutuskan untuk melepaskan Cristiano Ronaldo yang mempunyai konflik dengan kelab.

Namun begitu, sehingga hari ini, beliau hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja untuk Man United walau Ten Hag kerap memainkan pemain tinggi lampai itu di peranan nombor 10 di belakang Marcus Rashford.

Terdapat pelbagai pihak yang menghentam persembahan Weghorst dengan Richard Keys sendiri menganggap pemain penyerang itu sebagai pemain paling teruk dalam sejarah jentera serangan United.

“Ia adalah keputusan Ten Hag untuk terus memainkan Wout Weghorst.”

Tulis Richard Keys di blog miliknya.

“Ia bukan kesalahan Weghorst, tapi dia memang layak dianggap sebagai pemain Manchester United paling teruk yang pernah saya lihat.”

“Dia pemain nombor sembilan semulajadi, tapi dia sendiri susah nak sesuaikan diri dengan skuad Burnley yang sedang bergelut, tapi apa yang Ten Hag fikirkan untuk memainkan dia di peranan nombor 10?”

“Come on. Ia sangat lucu dan pengurus tak perlu berpura-pura seolah-olah Weghorst mampu tawarkan sesuatu. Dia bukan ‘pressing monster’. Dia tak buat larian kerana dia tak boleh berlari dan dia tak jaringkan gol.”

“Kamu tak patut turunkan dia sebagai pemula, paksa Fernandes ke kiri dan biarkan pemain £80 Sancho berada di bangku simpanan. Erik terlalu bijak, terlalu bijak.”

Weghorst sudah bermain 14 perlawanan dalam semua pertandingan sejak dari awal beliau menyertai Manchester United.

Beliau akan sekali lagi diharapkan untuk menjadi peledak gol skuad Man United ketika mereka turun bertemu Real Betis dalam aksi saingan Europa League minggu ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN