“Bukan Kami Tak Boleh Main 10 Orang Tapi…” – Zainal Gariskan Sebab Penang Tumpas

Zainal Abidin Hassan Penang Tumpas Selangor 2022

Pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan kecewa apabila skuadnya tumpas 0-2 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super 2022 malam tadi yang menyaksikan mereka terus terperosok di dasar saingan liga musim ini.

Penang gagal memintas kedudukan Sri Pahang FC yang hanya dibezakan satu mata daripada mereka – lapan mata selepas 11 perlawanan walaupun berpeluang untuk melakukannya dalam aksi berdepan Selangor itu.

Jika dilihat Harimau Kumbang bermain bertahan dan mengharapkan serangan balas untuk memerangkap tuan rumah, namun segalanya tampak tidak berhasil apabila masalah kombinasi di depan menjadi penghalang.

Penang telah bertahan dengan baik berbekalkan 11 pemain

Ini diakui oleh Zainal yang dilihat kerap kali mengatakan skuad kendaliannya telah bertahan dengan baik.

“Keputusan perlawanan memang mengecewakan kerana kita kalah 2-0. Kita tahu kita diasak oleh pasukan Selangor, tetapi disiplin pemain begitu tinggi. Apabila kita kehilangan bola, kita bertahan dengan baik.”

“Tetapi malangnya, selepas seorang pemain kita dibuang padang, ini yang membinasakan kita. Kita menerima padah daripada kesilapan itu. Belum sempat semangat pemain bangkit, kita dihukum lagi”

Penang hanya mampu bertahan selama 73 minit sebelum pemain gantian, Shahrel Fikri yang dibawa masuk oleh Michael Feichtenbeiner di minit ke-66 berjaya memecah kebuntuan perlawanan. Hantaran lolos Alex Agyarkwa berjaya membelah benteng pelawat dan menemui Shahrel yang pantas memanfaatkan peluangnya.

Enam minit kemudian, seorang lagi pemain gantian yang tidak sampai seminit dibawa masuk, Syahir Bashah memanfaatkan ruang dengan membuat rembatan jarak jauh menewaskan Hafizul Hakim buat kali kedua.

Ia berlaku selepas Penang kehilangan pemain tengah bertahan, Sukri Hamid yang dilayangkan kad merah.

Mengapa Sukri Hamid tidak dikeluarkan lebih awal?

Sukri Hamid boleh dikatakan tonggak utama sebagai pelindung pertama kepada benteng. Peranannya sebagai pemain tengah bertahan telah dilakukannya dengan berkesan sepanjang beliau tampil beraksi di atas padang.

Mungkin atas faktor itu, Zainal keberatan untuk mengeluarkan pemain tersebut lebih awal dek kerana Penang masih diasak bertubi-tubi oleh Selangor yang membawa masuk pemain lincah, Hein Htet Aung sebelum itu. Zainal turut membawa masuk seorang lagi pemain tengah bertahan, Azzizan Nordin sebagai jaminan.

Sebelum kekasaran yang membawa kepada layangan kad merah itu, Sukri dilihat mengalami kecederaan ringan tetapi masih dikekalkan – mungkin disebabkan kekurangan pilihan pemain yang berada di bangku simpanan.

Selepas itu, Sukri dikesan membuat dua hadangan keras berturut-turut ke atas Mukhairi Ajmal yang memaksa pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kepadanya yang merupakan yang kedua seterusnya membawa kepada layangan kad merah. Ini yang merosakkan terus perancangan Harimau Kumbang untuk bertahan.

Zainal jelaskan kelekaan pemain antara punca Penang Tumpas

“Bagi saya ia bukanlah punca [kad merah dan kekalahan]. 60, 70 minit kita bertahan dengan begitu baik. Kita tidak memberi ruang dan peluang buat pasukan lawan. Apabila kita kekurangan seorang pemain, bukan kita tak boleh bermain 10 orang, kita boleh. Tetapi, boleh saya katakan kesilapan daripada ‘counter-attack’ di mana pemain kita leka. Apabila [Rafael] Vitor cedera, disitulah mereka ambil kesempatan.”

Apabila ada kecederaan yang memaksa pemain terpaksa diusung keluar, Penang akan lebih tempang kerana beraksi dengan sembilan pemain. Ketiadaan seketika Rafael Vitor digunakan sepenuhnya The Red Gaints.

Sedikit sebanyak ia mengganggu perancangan Penang untuk bertahan. Selain itu, beliau juga tidak menafikan jadual yang padat juga boleh menggugat tahap persediaan pasukan untuk sesuatu perlawanan tersebut.

“Memang saya tidak nafikan dengan jadual yang begitu padat, berbaki 3, 4 hari kita akan bermain di tempat sendiri berdepan JDT, persiapan yang rapi dan teliti harus dibuat. Dengan apa yang mereka beri dalam perlawanan ini – mungkin faktor kecederaan ringan, kita perlu siapkan mereka dalam masa yang singkat.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN