Beberapa hari ini kecoh mengenai iklan raya yang mempromosi perjudian sehingga memerlukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu dan syarikat yang terlibat dengan penghasilan muzik video tersebut.
Situasi tersebut jelas tidak menimbulkan kemarahan dan kegusaran masyarakat yang melihat syarikat judi semakin berani untuk mengiklankan perniagaan judi dalam talian secara terbuka.
Tetapi tahukah anda bahawa terdapat juga sebuah laman web bola sepak di Malaysia yang turut mempromosikan perjudian?
Berdasarkan pemerhatian Semuanya BOLA, laman web yang menggunakan nama syarikat judi itu dilihat aktif menemu bual individu dan melaporkan berita bola sepak tempatan, dalam masa yang sama mengiklankan aktiviti perjudiannya.
Laman web ini juga didapati membuat rancangan bola sepaknya sendiri dengan menjemput ‘InstaFamous’ sebagai hos.
Ia juga boleh diakses melalui pelbagai medium media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Youtube, Tik Tok, WeChat dan Telegram.
Timbul persaoalan, adakah pihak kerajaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan membiarkan syarikat judi ‘bergerak bebas’ di dalam komuniti bola sepak Malaysia?
Berdasarkan semakan Semuanya BOLA dengan pihak MFL, laman web ini difahamkan masih baharu dan tidak berdaftar dengan badan pengurusan Liga Malaysia (Liga-M) tersebut.
Pihak Semuanya BOLA sendiri kerap kali dihubungi oleh syarikat-syarikat judi dari seluruh dunia menerusi e-mel yang mahu mengiklankan perniagaan perjudian mereka di laman web SemuanyaBOLA.com.
Tetapi setakat ini Semuanya BOLA bertegas untuk memastikan laman web kami bebas dari sebarang iklan yang melibatkan perjudian, arak dan segala perniagaan yang tidak mematuhi syariah.
Mungkin kerana cubaan kerjasama seperti ini gagal dan tidak dapat ‘menembusi’ pasaran tempatan, syarikat judi ini sudah berani untuk membuat laman web bola sepak sendiri.
Jika laman web bola sepak yang menggunakan nama syarikat perjudian ini terus dibiarkan, tidak mustahil lebih banyak lagi syarikat judi akan mengambil pendekatan sama dan akhirnya bola sepak Malaysia akan ‘dimeriahkan’ dengan aktiviti perjudian dalam talian.
Bola sepak Malaysia pernah dirosakkan oleh kegiatan ‘bookie’ yang bukan sahaja mengatur keputusan penuh perlawanan dan pelbagai elemen lain seperti jumlah jaringan, penjaring gol dan sebagainya.
Perkembangan ini pastinya menjadi kebimbangan kerana ia boleh merencatkan perkembangan sukan negara sekali gus merosakkan mutu sukan nombor satu negara.