“Bukan Dari Keluarga Senang, Tapi Solat & Al-Mulk Tak Pernah Tinggal” – Coretan Jurulatih AMD Mengenai Saiful Ezzudin

Pemergian Pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa yang meninggal dunia akibat lemas ketika mandi sungai merupakan berita duka buat warga bola sepak Malaysia, apatah lagi mereka yang dekat dengan pemain remaja ini.

Beliau yang sedang cuti semester dikatakan telah dihanyutkan oleh arus deras dan ditemui 28 jam kemudian dalam ban pasir di Kampung Sungai Limau oleh anggota pasukan mencari dan penyelamatan pada hari Khamis jam 5.45 petang.

Antara yang mencoret luahan mengenang detik-detik bersama pemain skuad AMD bawah 14 tahun adalah jurulatihnya sendiri, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang menganggap Saiful sebagai seorang pemain yang gigih mengejar impian.

“Dua tahun diberikan peluang untuk melatih beliau di AMD ketika umur 13 dan 14 tahun merupakan satu penghormatan terbesar dalam dunia kejurulatihan di peringkat pembangunan ini,” ujar Ekhsan menerusi status Facebook miliknya.

“Terkejut dan sedih, itu sahaja perasaan yang boleh dinukilkan kerana beliau merupakan seorang pelatih yang amat berdedikasi dan disenangi oleh semua kawan dan jurulatih. ‘Gila’, itulah satu perkataan yang saya boleh terjemahkan kepada diri Saiful.

“Ya, beliau seorang yang gila, gila bekerja untuk mengejar impian beliau. Saiful bukan datang dari keluarga yang senang, ayah seorang tukang buat rumah, jika tiada pekerjaan tersebut, beliau menanam jagung di tanah orang dan ibunya seorang suri rumah sepenuh masa.

“Kesusahan ini bukan penghalang dan alasan untuk beliau mengejar impian sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

“Saiful bukan seorang pelatih yang ‘banyak cakap’, beliau tahu bukan datang dari keluarga yang senang, namun matlamat beliau untuk mengejar impian tersebut tidak akan pernah luntur.

“Komitmen di atas padang yang sangat tinggi dan juga seorang yang berdisiplin di luar padang. Beliau antara pelatih yang selalu ke surau untuk solat berjemaah dan tidak pernah tinggal Al-Mulk sebelum tidur. Bagi saya, itulah antara kekuatan yang membuatkan beliau sentiasa berdedikasi.

“Perlawanan sebelum cuti semester tempoh hari merupakan perlawanan terakhir beliau dan juga terakhir buat kami melihat aksi beliau. Tiada lagi sosok yang sanggup langgar tiang gol semata untuk menyelamatkan gawang sendiri. Tiada lagi “sosok gila” di atas padang. Gila bekerja, gila untuk bersaing, gila, gila dan gila! Sentiasa memberikan komitmen 200%!

“Satu kehilangan besar buat kami dari warga NFDP & AMD. Saya berharap agar keluarga Almarhum Saiful diberikan kekuatan dan sentiasa dilindungi rahmat Tuhan.

“Buat Saiful, selamat bersemadi dan beristirehat di sana. Kegilaan awak, inspirasi buat kami ! Terima kasih atas perkenalan selama 2 tahun ini, terima kasih kerana memberikan sepenuh jiwa buat pasukan dan juga untuk semua jurulatih, terima kasih segalanya! Saiful kebanggaan kami.

“Isnin minggu hadapan merupakan hari pertama kami menjalani sesi latihan selepas seminggu cuti semester. It’s hard to forget someone who gave you so much to remember. The two hardest thing to say in life is hello for the first time and goodbye for the last.

“Sehingga kita berjumpa kembali di tempat yang kekal abadi. Al-Fatihah.

Saiful Ezzudin AMD

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN