Pra-musim sedang hangat berjalan menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) dan salah satu keputusan menarik adalah apabila Sri Pahang yang dibarisi Manuel Hidalgo dan Lee Tuck dikejutkan Perak FC, 2-1.
Namun, ia bukanlah petunjuk prestasi sebenar masing-masing kerana setiap pasukan masih dalam persediaan pra-musim. Begitupun, bagi pasukan yang sedang dalam fasa ‘bina semula’, ia satu keputusan yang amat baik.
Perak yang baru diambil alih oleh syarikat Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd dilihat agak perlahan dan pasif dalam jendela perpindahan pemain kali ini, namun tetap berjaya membawa masuk beberapa pemain berpengalaman antaranya penjaga gol, Zamir Selamat, Indra Putra Mahayuddin dan Wan Zack Haikal Wan Nor.
Berdepan Sri Pahang yang jelas lebih baik dari segi kualiti pemain dan kemampuan pasukan, Perak yang kini dikendalikan oleh Yusri Che Lah dan dibantu Chan Wing Hoong jelas menampil permainan yang lebih baik.
Sri Pahang yang turun dengan dua pemain import, Manuel Hidalgo dan Lee Tuck telah berjaya ditundukkan.
Dua gol The Bos Gaurus telah diledak oleh pemain berusia 20 tahun, Alif Zikri dan bekas pemain sayap Harimau Malaya, Wan Zack Haikal yang menyudahkan sepakan penalti di sepuluh minit terakhir untuk tundukkan skuad kendalian Christophe Gamel yang sebelum itu menyamakan kedudukan sebelum babak pertama berakhir.
Ia keputusan yang baik buat pemain-pemain muda Perak yang kini diketuai oleh pemain berpengalaman, Indra Putra yang dilihat memakai lilitan kapten dalam aksi persahabatan kali ini. Malah, Indra Putra mencuri tumpuan dalam aksi persabahatan sebelum ini menerusi jaringan sepakan gunting diledaknya berdepan Dee Jay Arr FC.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Perak menang 3-1 hasil dua gol oleh Wan Zack Haikal dan gol menarik Indra Putra untuk kemenangan selesa.
Perak turun ke Liga Premier untuk saingan musim 2022 selepas menamatkan saingan musim lalu di kedudukan kedua tercorot dengan 16 mata, kurang dua mata daripada Sri Pahang yang terselamat daripada penyingkiran.
Mereka dirundung masalah tunggakan gaji yang telah merosakkan perjalanan sepanjang musim lalu sehingga menyaksikan sebahagian besar pemain-pemain utama mereka memilih untuk angkat kaki tinggalkan pasukan. Untuk musim 2022, Perak dijangka akan membariskan pemain-pemain muda mereka di saingan Liga Premier.