Beberapa minggu lalu, Bayern Munich mengesahkan mereka akur dalam usaha mendapatkan Thomas Tuchel. Ini selepas pengurus itu sudah memeterai perjanjian dengan kelab lain.
Spekulasi media terus mengaitkan beliau dengan beberapa kelab termasuk PSG, Arsenal dan juga Chelsea. Namun Arsenal telah dipilih oleh ‘bookmakers’ sebagai pilihan utama.
Arsene Wenger dijangka akan meninggalkan Arsenal selepas tamat musim ini dengan baki kontrak masih setahun pada akhir musim ini.
Laporan Bild di Jerman melaporkan Tuchel sudah setuju kontrak 2 musim dengan PSG bermula musim hadapan menggantikan Unai Emery. Raphael Honigstein juga berkongsi berita yang sama dalam twitter beliau.
Tuchel to PSG confirmed, says @LaurensJulien https://t.co/hpJ7ig7o3v
— Raphael Honigstein💙 (@honigstein) April 5, 2018
PSG sebelum ini sudah membayangkan mereka tidak akan menyambung kontrak Unai Emery. Ini selepas beliau gagal memberikan UCL, terutamanya dalam 2 musim terakhir dengan pemain-pemain terbaik diberikan kepada beliau.
Musim lalu, PSG disingkirkan Barcelona walaupun selesa mendahului dalam perlawanan pertama. Musim ini, mereka disingkirkan Real Madrid dan Unai Emery menjadikan pengadil sebagai alasan.
Seterusnya, Unai Emery dilihat tidak mampu mengawal bilik persalinan beliau yang dipenuhi dengan bintang. Ada beberapa insiden tidak harmorni berlaku di bilik persalinan musim ini.
Dalam isu penalti, Unai Emery menyatakan beliau memilih Cavani sebagai petugas utama.
Namun dalam beberapa perlawanan terakhir sebelum Neymar cedera, pemain itu mengambil sepakan itu dalam kedudukan Edinson Cavani berpeluang menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman di PSG.
Beberapa penyokong PSG mempertikaikan kenapa Neymar mengambil sedangkan Cavani sudah diberikan tugas utama. Mereka berpendapat Neymar terlalu mementingkan jumlah gol.
Namun Neymar tampil dengan kenyataan yang beliau sudah diberikan tugasan itu oleh Unai Emery.
Bild juga menyebut, kontrak 2 tahun adalah asas dan ada klausa yang membolehkan kontrak itu disambung setahun lagi. Thomas Tuchel kini dilaporkan sedang mencari penolong beliau serta pasukan kejurulatihan.
Thomas Tuchel memiliki falsafah bola sepak menyerang yang dijangka akan mampu mendapatkan yang terbaik daripada pemain seperti Neymar.