Pada usia 38 tahun, Gianluigi Buffon terus bertambah hebat dan hebat.
Ahad lepas, Buffon memecah rekod tanpa bolos paling lama dalam sejarah Serie A yang dipegang oleh penjaga gol AC Milan, Sebastiano Rossi sejak 1994.
Buffon mencatat rekod 930 minit tanpa bolos sebelum gawangnya tembus angkara penalti pemain Torino, Andrea Belotti pada separuh masa kedua.
Juventus menang 4-1 ke atas Torino dalam perlawanan Ahad (20 Mac 2016) lepas.
Di peringkat kelab, Buffon sudah lama memecah rekod lagenda kelab, Dino Zoff yang mencatat 903 minit tanpa bolos apabila Juventus mencatat 10 clean sheet berturut-turut ketika menang 1-0 menentang Sassuolo pada 11 Mac 2016.
Tulis surat cinta
Ketika ditemuramah oleh media selepas kemenangan ke atas Torino, Buffon memberi pujian kepada rakan-rakan sepasukan kerana membantunya mencatat rekod baru tanpa bolos dalan sejarah Serie A.
“Sudah tentulah saya berbangga dengan pencapaian ini.”
“Tapi di akhir musim nanti jika kami menang liga, trofi akan tertulis nama Juventus. Bukannya nama saya. Ini adalah usaha berpasukan.”
Selain berterima kasih kepada rakan sepasukan di depan media, Buffon juga bertindak menulis ‘surat cinta’ kepada pintu gol di akaun Facebook miliknya semalam.
Dalam post yang ditulis dalam bahasa Itali itu, Buffon menggambarkan pintu gol ‘sebagai kekasihnya’ dan ‘berjanji akan melindunginya daripada musuh (bola)’.
Avevo 12 anni quando ti ho voltato le spalle. Rinnegai il mio passato per garantirti un futuro sicuro. Una scelta di…
Posted by Gianluigi Buffon on Monday, March 21, 2016
Berikut merupakan terjemahan surat cintanya:
Aku hanya berusia 12 tahun ketika aku berpaling daripada wajahmu.
Aku tak menoleh ke belakang untuk menjamin masa depan kita. Ia adalah pilihan hatiku, pilihan naluriku.
Bermula dari hari aku tak menoleh ke belakang untuk melihat wajahmu, aku jatuh cinta padamu. Untuk melindungimu. Untuk menjadi benteng pertama dan terakhir yang menyelamatkanmu.
Aku berjanji aku akan melakukan segala-galanya untuk melindungi wajahmu. Sedaya yang aku mampu.
Setiap kali aku menatap wajahmu, betapa sakitnya hatiku. Aku dah mengecewakanmu.
Kita bagaikan dua permukaan syiling yang tak pernah bersemuka. Serasi tapi tak pernah berjumpa. Bagaikan bulan dan matahari.
25 tahun dahulu, aku bersumpah untuk melindungi dan menjagamu. Untuk mempertahankanmu daripada musuh cinta kita.
Aku sentiasa menjagamu, lebih daripada aku menjaga diriku sendiri. Setiap kali aku melihatmu, aku cuba memahami kekecewaanmu dalam rasa bersalahku.
Aku hanya berusia 12 tahun ketika aku berpaling daripada pintu gol. Dan aku akan terus melindunginya selagi kaki, kepala dan hatiku masih terdaya.
Baca juga: 10 Kapten Pasukan Terbaik Dalam Sejarah Serie A